WILAYAH - UTARA > BERITA

Pulau Pinang Siap Sedia Menuju Negeri Mesra Usia Menjelang 2028

07/09/2024 04:21 PM

GEORGE TOWN, 7 Sept (Bernama) -- Kerajaan negeri sedang mempersiapkan Pulau Pinang ke arah mencapai negeri mesra usia menjelang 2028 dengan melancarkan Pelan Tindakan Strategik Bandar Mesra Usia (Pulau) hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa Negeri H’ng Mooi Lye berkata inisiatif itu melibatkan kerjasama tiga pihak antara Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dengan Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC) dan konsultan Persatuan Penuaan Sihat Malaysi(MHAS).

Beliau berkata inisiatif itu telah pun dimulakan sejak 2022 merangkumi lapan modul pelan stratetgik yang perlu dipenuhi seperti digariskan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bagi mencapai status Bandar Mesra Usia.

“Unjuran statistik tahun 2024 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan bahawa 80 peratus atau 143,805 penduduk Pulau Pinang terdiri warga emas (berusia 65 ke atas) iaitu 73,975 orang di bahagian pulau manakala 69,830 di Seberang Perai.

“Menyedari hal ini, kerajaan negeri mengambil langkah awal menerusi pelan tindakan strategik untuk menyediakan segala kemudahan diperlukan ke arah mencapai negeri menua supaya penduduk negeri ini akan hidup dalam keadaan lebih lestari,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran dan sesi publisiti awam pelan berkenaan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, H’ng berkata lapan modul dalam pelan tindakan itu merangkumi ruang awam dan bangunan, pengangkutan, perumahan, penglibatan sosial dan masyarakat, saling menghormati dan keterangkuman sosial, penglibatan sivik, komunikasi dan informasi serta sokongan masyarakat dan perkhidmatan kesihatan.

Beliau berkata golongan warga emas sering menghadapi cabaran dalam kehidupan dan persekitaran di bandar mahupun luar bandar termasuk kekangan mobiliti serta kesukaran mengakses perkhidmatan, pengangkutan awam dan infrastruktur mesra usia (age-friendly). 

Kebolehcapaian perkhidmatan disediakan agensi kerajaan juga menjadi cabaran dengan kekurangan maklumat, halangan digital dan proses birokratik yang rumit menyebabkan warga emas mengalami pengasingan sosial, penurunan kualiti hidup serta kesukaran mengekalkan kehidupan berdikari.

“Oleh itu, persekitaran mesra usia adalah amat penting kerana suatu hari nanti kita semua juga akan menjadi seorang warga emas dan ia bakal membantu generasi menua yang akan datang,” katanya.

H’ng berkata Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) akan memulakan inisiatif itu pada 2025 bagi kawasan Seberang Perai justeru beliau percaya Pulau Pinang secara keseluruhan berupaya menjadi sebuah negeri mesra usia menjelang 2028.

Menurut statistik Anggaran Penduduk Semasa, Daerah Pentadbiran 2024 yang diterbitkan 30 Ogos lepas, Seberang Perai Tengah di Pulau Pinang antara 11 daerah dikenal pasti sebagai daerah menua iaitu penduduk berumur 65 tahun dan ke atas mencatatkan sebanyak 7.0 peratus

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan