WILAYAH - UTARA > BERITA

Mayat Bayi Bawah Lantai Simen: Polis Perak Mohon Kerjasama JIM Kesan Suspek

09/09/2024 12:57 PM

IPOH, 9 Sept (Bernama) -- Polis Perak memohon kerjasama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Perak bagi mengesan suspek wanita warga Indonesia untuk membantu siasatan kes penemuan mayat bayi perempuan yang ditanam di bawah lantai simen di sebuah rumah, di Taman Sri Rokam di sini pada 28 Ogos.

Ketua Polis Perak Datuk Azizi Mat Aris berkata setakat ini pihaknya sedang giat menjejaki wanita terbabit.

“Jika dia telah kembali ke negara asal, pihaknya akan meminta bantuan pihak polis di sana bagi mengesan wanita berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Polis Perak 2024 di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Perak di sini hari ini.

Mayat bayi malang itu ditemukan oleh pemilik rumah terbabit yang menyewakan rumah itu kepada suspek sejak tiga tahun lepas.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata polis akan memohon untuk melanjutkan tempoh reman seorang lelaki tempatan berkaitan hantaran komen berbaur fitnah menerusi Facebook terhadap anggota polis yang terkorban dalam insiden tembakan di Balai Polis Ulu Tiram, Johor pada Mei lepas.

Beliau berkata permohonan melanjutkan reman itu susulan masih banyak aspek siasatan belum selesai.

“Tempoh reman suspek akan berakhir hari ini, dan ada beberapa dokumen melibatkan institusi serta jabatan lain masih belum diterima.

“Selepas selesai, baru kita akan rujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk sebarang pertuduhan terhadap suspek,” katanya.

Pada 5 Sept lepas, polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah menahan suspek berusia 25 tahun itu di sebuah kediaman di Masai, Johor.

Suspek yang disyaki pemilik akaun menggunakan nama ‘Wan Qayyum' itu dipercayai menulis komen mendakwa Allahyarham Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22, mangsa insiden serangan Balai Polis Polis Ulu Tiram mengambil rasuah.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tapah Superintendan Mohd Naim Asnawi dalam kenyataan berkata tempoh reman suspek disambung dua hari iaitu bermula hari ini dan permohonan melanjutkan reman itu dibuat di Mahkamah Majistret Tapah pagi tadi.

Dalam perkembangan lain, Azizi berkata pihaknya tidak menerima sebarang permohonan rasmi dari Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) bagi menyelia pondok polis yang terdapat di Pusat Sehenti Orang Asli (OAOSC) Bawong, dekat Sungai Siput.

Beliau berkata pihaknya tidak boleh secara semberono meletakkan anggota polis di lokasi berkenaan memandangkan perlu mengikut prosedur operasi standard(SOP) ditetapkan.

“Apabila sesuatu perkara melibatkan fasiliti keselamatan yang diwujudkan mana-mana pihak, ia harus dirujuk kepada pihak polis terlebih dahulu, ada prosedur tertentu melibatkan perjawatan sebelum digazetkan. Selain itu, perlu juga lihat dari segi bebanan atau sebarang bentuk jenayah yang ada di situ, sebelum kita boleh beroperasi,” katanya.

Sebuah pondok polis sedang dibina di OAOSC Bawong dan dianggarkan terletak kira-kira 38 kilometer dari Perkampungan Orang Asli Pos Kuala Mu, Sungai Siput.

Pada 20 Ogos lepas, penduduk Kampung Bersah dekat perkampungan Orang Asli Pos Kuala Mu di sini memohon kerajaan membina balai polis atau pondok polis berhampiran penempatan itu bagi memudahkan urusan terutamanya pelaporan insiden seperti jenayah.

Ia susulan kes pembunuhan melibatkan kanak-kanak Orang Asli Nuraina Humaira Rosli, 10, yang mayatnya ditemukan di kawasan berpaya di perkampungan Orang Asli Kampung Bersah, Pos Kuala Mu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan