WILAYAH - UTARA > BERITA

Penguat Kuasa MBPP Guna Kamera Badan Tingkat Ketelusan, Keselamatan

11/09/2024 06:17 PM

GEORGE TOWN, 11 Sept (Bernama) -- Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) memperkenalkan penggunaan kamera badan bagi meningkatkan ketelusan, akauntabiliti dan keselamatan pegawai penguat kuasa di lapangan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa negeri H'ng Mooi Lye berkata inisiatif itu adalah sebahagian daripada langkah berterusan pihak MBPP untuk meningkatkan profesionalisme dan membina kepercayaan orang ramai terhadap pegawai mereka semasa menjalankan tugas penguatkuasaan.

“Kamera badan mempunyai beberapa fungsi untuk pegawai penguat kuasa kami, seperti mengekalkan integriti dan ketelusan apabila rakaman itu berfungsi sebagai bukti yang boleh disahkan bagi menyokong tindakan pegawai semasa tugas penguatkuasaan.

"Selain itu ia juga boleh membantu melindungi pegawai penguat kuasa dan orang awam daripada sebarang salah faham atau persepsi negatif yang membawa kepada konflik, dan rakaman ini juga boleh digunakan sebagai bukti yang sah untuk sebarang siasatan atau prosiding undang-undang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

H'ng berkata Jabatan Penguatkuasaan MBPP telah melaksanakan fasa pertama projek perintis ini dengan membeli 15 unit kamera badan sekitar Oktober 2023 melibatkan Warden Trafik selain membeli 50 unit lagi untuk digunakan oleh unit pengapit dan tunda pada Mei lalu.

Beliau berkata MBPP merancang untuk menambah 50 unit lagi kamera badan itu, dan inisiatif ini akan terus diperluas secara berperingkat, melibatkan semua pegawai penguat kuasa semasa menjalankan tugas pada masa hadapan.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan