WILAYAH - SARAWAK > BERITA

SAS 2024 Capai Sasaran Potensi Transaksi Perniagaan RM1.3 Bilion - Exco Pelaburan

13/09/2024 08:42 AM

SHAH ALAM, 12 Sept (Bernama) -- Pameran Penerbangan Selangor (SAS 2024) yang membuka tirainya hari ini berjaya mencapai sasaran potensi transaksi perniagaan berjumlah RM1.3 bilion yang ditetapkan kerajaan negeri, kata Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Selangor Ng Sze Han.

Ng berkata pencapaian cemerlang itu disumbangkan menerusi pemeteraian 12 dokumen perniagaan meliputi memorandum persefaham (MoU), memorandum kerjasama (MoC), surat hasrat (LoI) dan offtake agreement antara beberapa syarikat. 

Beliau berkata pemeteraian dokumen itu antara lain melibatkan MoU berhubung pengembangan fasiliti penyelenggaraan, pembaikan dan operasi (MROC) di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, dan pembangunan perisian Continuing Airworthiness Management Organisation (CAMO). 

"Untuk SAS 2024, kerajaan Selangor menetapkan sasaran ini (RM1.3 billion) yang mana kita telah pun berjaya capai atau realisasikan hari ini menerusi pemeteraian 12 dokumen perniagaan.

“Dengan potensi nilai transaksi yang ada ini, saya yakin kita akan dapat capai satu jumlah yang lebih tinggi kerana ada lebih kurang 30 MoU lagi yang akan dimeterai dalam tempoh penganjuran SAS 2024," katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis perasmian SAS 2024 di sini hari ini. 

Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan berangkat merasmikan SAS 2024 yang berlangsung di Pusat Penerbangan Serantau (RAC) Skypark, Subang, dan Hadir sama Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari serta Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor Berhad Datuk Hasan Azhari. 

Mengulas lanjut, Ng berkata antara syarikat yang terlibat dalam pemeteraian dokumen berkenaan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan), Malaysia Airports Holdings Berhad, Global Turbine Asia (GTA), Qube Nexus, Vencast, Batik Air, Global Systemes Asia (GSA) dan Safe Connect. 

Sebelum ini, Invest Selangor Berhad dalam kenyataan memaklumkan pihaknya menyasarkan mencapai potensi transaksi sebanyak RM1.3 bilion sepanjang penganjuran SAS 2024 yang berakhir Ahad ini.

Dalam pada itu, Ng berkata hari pertama SAS 2024 telah merekodkan pendaftaran pengunjung melebihi 40,000 orang manakala lebih 30,000 pengunjung telah mendaftar untuk hadir bagi sagmen orang awam yang dibuka esok.

"Untuk tahun ini kita sediakan lebih acara bagi menarik kehadiran golongan belia antaranya karnival kerjaya dalam bidang penerbangan dan aeroangkasa dengan lebih 40 syarikat terlibat dan 2,000 peluang pekerjaan sedia untuk direbut mereka yang layak," katanya.

Sementara itu,  Amirudin dalam ucapannya berkata Selangor menyasarkan untuk menjadikan SAS sebagai pertunjukan udara terbaik di Asia Tenggara dan antara yang terbaik di Asia menjelang 2030.

Selain itu, beliau juga berkongsi visinya untuk menjadikan Selangor sebagai peneraju dalam pembangunan dan pengeluaran bahan api penerbangan mampan (SAF) berasaskan bahan mentah dan minyak masak terpakai (UCO) memandangkan bahan api itu meliputi 30 peratus daripada kos operasi syarikat penerbangan sekali gus meletakkannya negeri itu sebagai perintis ke arah industri penerbangan lebih hijau dan mampan. 

“Tidak dilupakan sektor dron, UAV (pesawat tanpa pemandu), elemen ruang angkasa dan helikopter di seluruh rantau ASEAN. Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, kita telah menyaksikan peningkatan dalam penerimaan teknologi ini, didorong oleh inovasi dan permintaan yang semakin meningkat bagi penyelesaian yang cekap dan mampan dalam industri seperti logistik, pertanian pintar, pemantauan, tenaga, malah pengangkutan penumpang.

“Dalam persediaan Malaysia mempengerusikan ASEAN tahun depan, kita mempunyai peluang untuk meletakkan diri sebagai platform utama bagi pertemuan perniagaan, berkolaborasi, bertukar idea, dan memperluaskan rangkaian,” katanya. 

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan