WILAYAH - SARAWAK > BERITA

3,459 Kekosongan Ditawarkan Pada Karnival Kerjaya SAS 2024

13/09/2024 05:07 PM

SHAH ALAM, 13 Sept (Bernama) -- Karnival kerjaya pada Pameran Penerbangan Selangor (SAS) 2024 di Pusat Penerbangan Serantau Skypark di sini menawarkan 3,459 kekosongan daripada 40 majikan dalam industri aeroangkasa dan penerbangan.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Sumber Manusia dan Pembasmian Kemiskinan negeri V. Papparaidu berkata pembangunan modal insan di negeri itu sentiasa menjadi antara keutamaan bagi memastikan tiada yang ketinggalan sekali gus mendapat manfaat daripada pertumbuhan ekonomi Selangor.

"Setakat 31 Ogos, sebanyak  1,119,430 pencari kerja ditempatkan di bawah inisiatif MYFutureJobs daripada Kementerian Sumber Manusia melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dengan 268,009 penempatan dari Selangor.

"Hal ini membuktikan inisiatif kerajaan dalam mengaktifkan aktiviti pasaran buruh melalui intervensi yang menawarkan peluang kerja kepada bakat dan majikan khususnya di Selangor," katanya dalam ucapan pada majlis pelancaran Karnival Kerjaya SAS 2024 hari ini.

Papparaidu berkata pertumbuhan yang besar menyerlahkan peluang pekerjaan yang semakin meningkat untuk kumpulan bakat negeri, menandakan momentum positif dalam pasaran pekerjaan tempatan.

Sementara itu, Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia Datuk Azman Mohd Yusof memuji inisiatif pentadbiran kerajaan Selangor untuk menyelaras dan memudahkan pelaburan dan industri aeoroangkasa, menyokong matlamat yang ditetapkan oleh Pelan Tindakan Industri Aeroangkasa Malaysia 2030 bagi menyediakan 32,000 pekerjaan berkualiti dan berkemahiran tinggi dalam industri aeroangkasa.

Beliau berkata Jabatan Perangkaan baru-baru ini mengumumkan kadar pengangguran terus mencatatkan penurunan pada suku kedua 2024, sejajar dengan peningkatan permintaan terhadap buruh dalam sektor ekonomi.

"Tenaga buruh telah berkembang sebanyak 2.5 peratus kepada 17.15 juta orang, terutamanya didorong oleh peningkatan 2.8 peratus dalam bilangan orang yang bekerja yang mencecah 16.59 juta pada Jun 2024.

"Saya percaya trend positif ini dipacu oleh dasar proaktif dan pelaksanaan oleh negeri maju seperti Selangor yang menawarkan pekerjaan bernilai tinggi seperti dalam industri aeroangkasa dan penerbangan," katanya.

Azman turut berharap pemain industri dapat terus menyediakan peluang peningkatan kemahiran dan kemahiran semula kepada pekerja dan siswazah muda supaya mereka menjadi lebih produktif dalam memenuhi permintaan dalam pasaran kerja.

Terdahulu, lapan dokumen perniagaan membabitkan Memorandum Persefahaman (MoU) dan Surat Hasrat (LOI) ditandatangani antara agensi negeri, institusi pendidikan tinggi, syarikat penerbangan dan aeroangkasa.

Satu daripada MoU itu adalah antara Invest Selangor Berhad dan Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT) yang akan bekerjasama menangani isu bakat dalam industri aeroangkasa dan mewujudkan ekosistem mampan untuk pemain industri yang beroperasi di Selangor.

Dokumen lain termasuk pemeteraian LOI antara Pusat Inovasi Aeroangkasa Malaysia (AMIC) dengan Universiti Malaya dan UCSI College untuk melibatkan diri dalam pembangunan bahan api penerbangan mampan bio-jet.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan