WILAYAH - SARAWAK > BERITA

15 Syarikat Malaysia Buat Penampilan Sulung Di Index Saudi Arabia 2024 - Matrade

13/09/2024 09:04 PM

KUALA LUMPUR, 13 Sept (Bernama) -- Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) sedang menyelaraskan penyertaan 15 syarikat Malaysia untuk muncul kali pertama di INDEX Saudi Arabia 2024 dari 17-19 September, 2024 yang berlangsung di Pusat Pameran dan Persidangan Riyadh Front.

INDEX Saudi Arabia adalah acara perdagangan bagi industri reka bentuk dalaman, perabot dan ubah suai yang terkemuka di negara itu yang mana jenama untuk hiasan dalaman berhubung dengan pereka, peruncit, pengedar dan kontraktor pengubahsuaian.

MATRADE dalam satu kenyataan hari ini berkata pavilion Malaysia akan mempamerkan koleksi-koleksi perabot berkualiti tinggi dan reka bentuk terbaik negara, menjadikannya sebagai tumpuan di salah satu pameran perdagangan perabot terkemuka di Timur Tengah.

"Pengunjung akan berpeluang melihat pelbagai jenis perabot yang menggabungkan estetika dengan fungsi, mencerminkan warisan budaya Malaysia yang pelbagai diselitkan dengan teknologi terkini," katanya.

MATRADE juga akan bekerjasama dengan Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) untuk mewujudkan sinergi yang kukuh bagi menyokong pertumbuhan dan capaian global bagi pemain-pemain industri perabot Malaysia di rantau itu.

Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE Datuk Mohd Mustafa Abdul Aziz berkata projek-projek mega di Arab Saudi yang bertujuan untuk mentakrif semula negara itu untuk menjadi hab hospitaliti global, menawarkan peluang besar kepada pengeluar perabot Malaysia.

“Ini akan mengukuhkan lagi jejak eksport perabot Malaysia dalam pasaran memandangkan Arab Saudi kini berada di kedudukan antara 10 destinasi eksport teratas untuk perabot Malaysia.

“Selain itu, eksport perabot Malaysia ke rantau Timur Tengah dan Afrika Utara melonjak 66.7 peratus tahun lepas, mencecah RM606.7 juta dengan pertumbuhan ketara di pasaran UAE, Arab Saudi dan Libya,” tambahnya.

Menurut MATRADE, eksport perabot global Malaysia dari Januari hingga Julai 2024 menyaksikan peningkatan dua digit sebanyak 12.9 peratus, berjumlah RM7.14 bilion berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

Destinasi eksport utama perabot Malaysia termasuk Amerika Syarikat, Singapura, Australia, Jepun dan United Kingdom, yang menyumbang lebih 60 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport perabot Malaysia.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan