WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Bermula Sekadar Suka-Suka, Produk Kraftangan Jahitan Kini Jadi Sumber Pendapatan Utama

14/09/2024 09:09 AM

Oleh Lucia Terey John

SERDANG, 14 Sept (Bernama) -- Siapa sangka bermula dengan sekadar suka-suka, usaha seorang bekas graduan Kolej Yayasan Pahang membantu ibu mentuanya menghasilkan produk kraftangan jahitan kreatif secara kecil-kecilan, kini menjadi sumber pendapatan utamanya. 

Mohd Firdaus Kamaruzzaman, 35, lulusan Diploma Pengurusan Perniagaan berkata minatnya untuk terlibat secara serius timbul selepas melihat potensi pelbagai produk menggunakan kain batik dan kapas fiber dihasilkan ibu mentuanya.

“Saya sebelum ini bekerja di sebuah syarikat pelancongan namun sentiasa membantu menyiapkan tempahan produk bila ada masa lapang. Pada 2017 saya berhenti kerja untuk mengembangkan perusahaan selepas melihat produk dihasilkan ada potensi,” katanya kepada Bernama.

Mohd Firdaus ditemui di Laman Usahawan Desa Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) pada Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2024 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini hari ini. 

Menurut Mohd Firdaus, produk mereka seperti kusyen rehat pergelangan tangan, bantal bayi dan sarung kusyen menggunakan kain batik tanah liat atau clay yang digunakan sebagai bahan alternatif menggantikan lilin.

Namun Mohd Firdaus yang juga antara 170 usahawan KKDW diketengahkan pada pameran itu mengakui terdapat banyak cabaran perlu ditempuh ketika mahu meluaskan perusahaan mentuanya termasuk dari segi pasaran.

“Atas bimbingan Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA) saya dan mentua diberi pelbagai latihan antaranya pembungkusan produk dan pemasaran dan hasilnya, produk kami kini berjaya dijual bukan setakat di Malaysia malah sudah menembusi pasaran Jepun dan United Kingdom (UK).

“Di sana (Jepun dan UK), produk kami mendapat sambutan kerana ia merupakan barangan yang diperlukan oleh pekerja dan juga golongan ibu bapa selain harganya berpatutan iaitu antara RM35-RM50,” kata anak jati kelahiran Felda Air Tawar 1 di Kota Tinggi, Johor itu.  

Ketua Setiausaha (KSU) KKDW Datuk Muhd Khair Razman Mohamed Annuar berkata laman usahawan berkenaan julung kali dibawa di MAHA sebagai platform untuk membantu usahawan desa mempromosi produk dan sebagai akses pasaran produk mereka.

Menurutnya, kebanyakan usahawan yang dibawa adalah di bawah bimbangan agensi KKDW seperti Majlis Amanah Rakyat (MARA), Jabatan Kemajuan Masyarakat (JKM), Jabatan Kemajuan Orang Asli (JKOA), Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH), Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR), Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA) dan Giat MARA.

Sementara itu, seorang lagi usahawan terlibat dalam pameran itu, Wet Bakil, 59, berkata dia  menghasilkan produk kraftangan berasaskan rotan sejak 10 tahun lepas dan menjualnya di kawasan sekitar perkampungan Orang Asli Ulu Chuai di Rembau, Negeri Sembilan.

"Disebabkan makcik tidak pandai membaca dan menulis maka tempahan diterima tidak banyak, cukup-cukup makan sahaja. Hanya selepas menantu perempuan tinggal dengan mak cik, dialah yang membantu mengambil tempahan namun kami masih bergelut menerima tempahan kerana tiada jaringan pasaran.

“Sehingga JAKOA tampil membantu, mereka mengalakkan saya menyertai karnival seperti MAHA ini agar ramai dapat mengenali produk saya,” katanya yang menjual produk dihasilkannya dengan harga RM15 hingga RM200.

Antara produk dihasilkan daripada rotan diperoleh dari hutan ialah beg, tempat letak pen, tempat letak botol air, sudu memasak dan penutup lampu rotan.

Wet berkata pembuatan kraftangan berasaskan rotan adalah satu proses mencabar kerana memerlukan ketelitian semasa menganyam, selain perlu menggunakan sepenuhnya tangan dan pisau kecil.

“Tersilap sedikit, jari kita boleh cedera akibat rotan yang tajam ketika menganyam tetapi saya sudah nyatakan perkara ini kepada menantu kerana dia akan menyambung warisan kraftangan ini kelak apabila saya sudah tidak berdaya,” katanya.

MAHA 2024 berlangsung selama 12 hari hingga 22 Sept ini dijangka menarik lebih tiga juta pengunjung melalui pelbagai elemen ditekankan antaranya menerusi segmen MAHA Go Global, yang akan mengangkat pameran itu ke peringkat antarabangsa dengan penglibatan pelbagai negara. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan