WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Sidang Kemuncak Media BRICS Bermula Di Moscow, Pembuka Tirai Sidang Kemuncak Di Kazan

14/09/2024 05:23 PM

Oleh D. Arul Rajoo

MOSCOW, 14 Sept (Bernama) -- Sidang Kemuncak Media BRICS bermula di ibu kota Rusia pada Sabtu, menjadi pembuka tirai kepada Sidang Kemuncak BRICS di Kazan bulan depan.

Lebih 200 anggota delegasi dari 45 negara menghadiri sidang empat hari yang diadakan di Pusat Perdagangan Dunia, Moscow.

Semasa pembukaan, Menteri Luar Rusia Sergey Lavrov menyampaikan ucapan yang dirakam, manakala timbalannya, Sergei Ryabkov, yang hadir merasmikan sidang kemuncak itu.

Acara yang dianjurkan oleh Agensi Berita Rusia TASS, yang menyambut ulang tahun ke-120 tahun ini, turut menampilkan ucapan pembukaan daripada Ketua Pengarahnya, Andrey Kondrashov.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Nur-ul Afida Kamaludin dan Ketua Pengarang D. Arul Rajoo.

Fu Hua, Pengerusi Eksekutif Forum Media BRICS dan Ketua Pengarah Agensi Berita Xinhua China, serta Mohammed Abd Rabbo Al Yami, Ketua Pengarah Kesatuan Agensi Maklumat Pertubuhan Kerjasama Islam (UNA OIC), juga turut hadir.

Sebagai sebahagian daripada akitiviti kepengerusian BRICS oleh Rusia, negara itu sedang menganjurkan beberapa acara antarabangsa, forum, dan sidang kemuncak dalam pelbagai bidang yang bertujuan mengukuhkan kerjasama antara anggota BRICS.

Para peserta Sidang Kemuncak Media itu termasuk ketua organisasi media terkemuka dari negara BRICS, negara yang memohon untuk menyertai blok itu dan rakan media lain TASS.

Sidang Kemuncak Media ini akan menampilkan sesi panel bersama pakar yang memberi tumpuan kepada peranan komuniti media BRICS dalam memperkukuh kestabilan dan kerjasama dalam dunia multipolar, serta aspek teknologi dalam kerjasama maklumat antara negara BRICS.

Julai lalu, Malaysia memohon untuk menyertai BRICS, yang ditubuhkan pada 2009 dengan ahli asalnya: Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan.

Blok ini, yang dinamakan sempena abjad pertama nama lima negara pengasasnya, telah berkembang dan kini turut meliputi Mesir, Ethiopia, Iran, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu.

Awal bulan ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadiri Forum Ekonomi Timur ke-9 di Vladivostok, Rusia, yang beliau bertemu Presiden Vladimir Putin dan dijemput untuk menghadiri Sidang Kemuncak di Kazan.

Semasa Sidang Kemuncak Media BRICS, TASS juga akan menjadi tuan rumah kepada Mesyuarat Lembaga Eksekutif Pertubuhan Agensi-agensi Berita Asia Pasifik (OANA) ke-53, yang perbincangan akan memberi tumpuan kepada masa depan organisasi dan impak AI terhadap media.

OANA, yang merangkumi dua pertiga daripada populasi dunia, kini mempunyai 43 ahli dari 35 negara di seluruh Asia dan Oceania.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan