WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Sukan SEA 2027 Akan Perkenalkan Sarawak Ke Peringkat Asia Tenggara - Abang Jo

15/09/2024 12:20 AM

KUCHING, 14 Sept (Bernama) -- Pemilihan Sarawak sebagai hos bersama penganjuran Sukan SEA 2027 akan memperkenalkan negeri itu secara lebih meluas ke peringkat Asia Tenggara.

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata bagi menjayakan penganjuran temasya sukan itu Sarawak perlu bersedia bermula dari sekarang.

“Kebanyakan acara (Sukan SEA 2027) akan diadakan di Sarawak kerana kita bersetuju untuk menampung 50 peratus kos penganjuran. Kos ini tinggi tetapi untuk pembangunan sukan dan anak muda Sarawak kita sanggup (keluarkan peruntukan).

“Apabila kita menjadi hos bersama, negara yang akan menyertai Sukan SEA akan tahu di mana Sarawak dan ini semestinya akan meningkatkan status kita,” katanya semasa berucap di majlis penyampaian insentif kontinjen Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 Sarawak di sini malam ini.

Keseluruhan sebanyak RM1.83 juta diberikan kepada atlet Sarawak yang berjaya meraih pingat emas, perak dan gangsa pada temasya SUKMA 2024 lepas.

Pada 29 Ogos lepas, Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata tiga negeri iaitu Sarawak, Sabah dan Pulau Pinang bersetuju untuk menjadi hos bersama-sama Kuala Lumpur bagi penganjuran Sukan SEA 2027.

Hannah berkata ketiga-tiga negeri itu turut bersetuju untuk mengeluarkan kos dengan nilai keseluruhan penganjuran dianggarkan RM700 juta.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan