WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Pemimpin Masyarakat Disaran Mohon Dana SejaTi MADANI, Jana Ekonomi Setempat - Fahmi

15/09/2024 06:46 PM

SIPITANG, 15 Sept (Bernama) -- Ketua Kampung, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung dan rukun tetangga, disaran memohon dana Program Sejahtera Komuniti MADANI (SejaTi MADANI) bagi menggalakkan pertumbuhan ekonomi setempat.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata untuk program itu, kerajaan menerusi Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Pusat menyediakan peruntukan sehingga RM100,000 dan permohonan masih dibuka hingga 30 Sept.

“Saya sarankan kepada semua yang masih belum memohon dana SejaTi MADANI untuk segera berbuat demikian, dengan mendapatkan maklumat melalui laman web SejaTi MADANI yang disediakan,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Hari Bersama Komuniti di Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Chung Hwa, di sini hari ini.

Fahmi berkata terdapat lima sektor yang menjadi tumpuan dalam program SejaTi Madani, iaitu pertanian dan makanan, jahitan dan kraftangan, herba dan kesihatan, pelancongan dan hospitaliti, serta aktiviti hijau dan kitar semula.

Terdahulu, Fahmi dalam ucapannya di program tersebut berkata dana berkenaan disediakan Kerajaan Persekutuan bagi mengupayakan komuniti melalui aktiviti sosioekonomi yang dinyatakan.

Selain itu, beliau turut menyeru masyarakat setempat agar memanfaatkan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI), kerana pelbagai maklumat serta kemahiran yang disediakan di pusat itu, boleh membantu mereka untuk meningkatkan taraf hidup.

“Dahulu dikenali sebagai Pusat Ekonomi Digital (PEDi) tetapi sekarang sebagai NADI, dan beberapa penambahbaikan telah dilaksanakan di pusat ini. Tujuannya kita tidak mahu rakyat hanya berkumpul di sini, sebaliknya memanfaatkan kemahiran diperoleh di sini untuk menambah pendapatan.

“Semasa lawatan di NADI Mesapol tadi saya lihat ada yang mengusahakan kek lapis Sarawak, sampai ke Sipitang ada kek ini. Saya ke Kundasang, ada yang mengusahakan sambal tuhau, sedap dan NADI boleh membantu membangunkan usahawan tempatan dengan memasarkan produk melalui Internet,” katanya.

Sebelum itu Fahmi turut meluangkan masa melawat pusat NADI Mesapol yang ditubuhkan pada tahun lepas, selain bertemu pengurus pusat serta para usahawan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan