WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Seorang Peserta RXZ Members 6.0 Maut Kemalangan Di LPT2

15/09/2024 11:00 PM

KUALA TERENGGANU, 15 Sept (Bernama) -- Seorang peserta RXZ Members 6.0 maut selepas terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lagi motosikal jenis sama dan sebuah treler di Kilometer 379.5 Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2), petang tadi.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu DSP Zainul Mujahidin Mat Yudin berkata kemalangan 3 petang itu, menyebabkan Ahmad Amir Muhammad, 29, dari Felda Seroja, Jengka 18, Temerloh, Pahang maut akibat kecederaan di bahagian kepala.

“Siasatan awal mendapati mangsa dalam perjalanan pulang ke rumahnya dan setibanya di lokasi berhampiran Ajil-Bukit Besi mangsa dikatakan telah memotong sebuah treler menggunakan laluan kecemasan, sebelum bergesel dengan sebuah motosikal jenis sama yang sedang berhenti di lorong berkenaan.

“Akibatnya, mangsa telah terjatuh dan terseret masuk ke bawah treler berkenaan. Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. Seorang lagi penunggang motosikal dan pemandu treler tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata mayat lelaki yang bekerja sebagai buruh itu, dihantar ke Unit Forensik Hospital Hulu Terengganu untuk tujuan post-mortem dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman Supt Hanyan Ramlan berkata pasukan tindakan kecemasan telah ditempatkan di Plaza Tol Kijal bermula 8 malam tadi.

Beliau berkata pasukan itu terdiri daripada anggota polis dan masing-masing sebuah ambulans milik Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

“Pasukan ini akan bertindak segera jika berlaku kemalangan di LPT2 antara Paka dan sempadan Kuantan, Pahang.

“Selain itu, dua buah Toyota Hilux milik polis juga akan diletakkan di atas jejantas yang melintasi lebuh raya di Pasir Gajah dan Jabur untuk memantau, serta menyalakan flashlight biru bagi meredakan kelajuan penunggang motosikal,” katanya.

Terdahulu, lebih 40,000 peserta dari seluruh negara membanjiri Litar Permotoran Terengganu, Gong Badak, Kuala Nerus selama dua hari bermula Jumaat, sempena program himpunan motosikal RXZ Members 6.0 yang memasuki siri keenam penganjuran, tahun ini.

Sementara itu, Hanyan berkata satu lagi kemalangan membabitkan dua motosikal peserta program itu juga dilaporkan berlaku di KM270.1 LPT2 dekat Perasing menghala ke Kuantan, yang mengakibatkan seorang mangsa iaitu Mohamad Firdaus Abdul Rashid, 29, dari Bandar Seri Jempol, Negeri Sembilan, maut.

Beliau berkata kemalangan pada pukul 10.45 pagi tadi itu, turut menyebabkan Muhammad Shafiq Abdul Halim, 29, dari Bandar Baru Serting, Negeri Sembilan cedera parah.

“Menurut saksi, kemalangan berlaku apabila kedua-dua mangsa cuba mengelak patung penyu yang berada di sebelah kiri jalan, sebelum bergesel antara satu sama lain dan terbabas.

“Mayat Mohamad Firdaus dihantar ke Hospital Kemaman untuk bedah siasat dan disahkan meninggal dunia akibat kecederaan di kepala, manakala Muhammad Shafiq dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan, Pahang untuk menerima rawatan,” katanya sambil mengesahkan kes disiasat mengikut seksyen sama.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan