WILAYAH - TIMUR > BERITA

Lebih Banyak Syarikat Swasta Digalak Sertai Inisiatif Ihsan Rahmah MADANI

16/09/2024 08:44 PM

GUA MUSANG, 16 Sept (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Kelantan menggalakkan lebih banyak syarikat swasta menyertai inisiatif Ihsan Rahmah MADANI (IRM) dalam membantu rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah (B40) mendapatkan barangan bukan keperluan asas pada harga lebih murah. 

Pengarahnya Azman Ismail berkata inisiatif itu secara tidak langsung membuktikan keupayaan sektor swasta menanggung sendiri kos, jualan dan keuntungan dalam menyokong usaha kerajaan bagi memastikan rakyat dapat menikmati harga murah. 

"Kita menggalakkan pemain industri bersama-sama dengan kerajaan untuk membantu rakyat. Hal ini sebenarnya satu tanggungjawab sosial korporat daripada syarikat berkenaan untuk memberi bantuan secara terus kepada rakyat dengan memberi apa yang mereka hasilkan. 

"Pengurangan harga akan dibuat oleh syarikat terbabit, manakala pihak kerajaan pula akan membantu membuat promosi kepada rakyat untuk mendapatkan barangan yang ditawarkan," katanya. 

Beliau berkata kepada pemberita selepas merasmikan program Jualan Ihsan Rahmah MADANI sempena Hari Malaysia dekat Bandar Utama di sini hari ini.

Azman berkata setakat ini tiga syarikat swasta di negeri ini antaranya syarikat peralatan kelengkapan sekolah telah menyertai inisiatif IRM yang menawarkan pelbagai produk di premis mereka dengan pengurangan harga hingga 50 peratus. 

Beliau berkata bagi Jualan Rahmah MADANI, sebanyak 391 program telah dilaksanakan di seluruh Kelantan setakat ini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan