WILAYAH - SARAWAK > BERITA

AKPK: Memperkasa Rakyat Menuju Kebebasan Kewangan

17/09/2024 11:11 AM

KUALA LUMPUR, 17 Sept (Bernama) -- Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) komited untuk membantu rakyat Malaysia mencapai kebebasan kewangan melalui tiga teras utama iaitu pendidikan kewangan, khidmat nasihat kewangan dan pengurusan kredit. 

Ditubuhkan sejak 2006, agensi yang bernaung di bawah Bank Negara Malaysia ini telah membantu lebih daripada 470,000 individu yang menghadapi masalah kewangan dan memberikan panduan kepada perusahaan mikro, kecil, dan sederhana (PMKS) mengenai pengurusan kewangan sejak September 2020.

Ketua Pegawai Eksekutif AKPK Azaddin Ngah Tasir berkata AKPK telah berusaha untuk memperkasakan rakyat mencapai kesejahteraan kewangan melalui penekanan terhadap kefahaman, disiplin dan ketahanan kewangan.

Azaddin turut berbangga dengan penyertaan AKPK dalam Perarakan Hari Kebangsaan 2024 yang mengangkat tema 'Kebebasan Kewangan', selari dengan tema perarakan 'Jiwa Merdeka’.

“Kontinjen AKPK terdiri daripada 107 warga kerja yang berpakaian serba putih dengan motif kupu-kupu biru. Mereka berarak dengan dilengkapi struktur gergasi origami kupu-kupu biru, yang merupakan metafora untuk empat fasa kehidupan seekor kupu-kupu: dari telur, ulat beluncas, kepompong, dan akhirnya dewasa.

"Ini melambangkan perjalanan melalui empat fasa dalam mencapai kebebasan kewangan, yang sering ditekankan oleh agensi tersebut. Fasa-fasa ini termasuk mendapatkan kefahaman kewangan terlebih dahulu, kemudian mengekalkan disiplin kewangan, membina ketahanan kewangan, dan akhirnya mengecapi persaraan yang selesa," katanya menerusi satu kenyataan.

AKPK juga menonjolkan peranan penting dalam membimbing individu dan PMKS melalui program pendidikan kewangan, bukan sahaja untuk mencapai kebebasan daripada beban hutang tetapi juga untuk mencapai kejayaan dalam matlamat pengurusan kewangan mereka.

Bagi tujuan itu, AKPK giat melaksanakan pelbagai program literasi kewangan, termasuk program kolaborasi dengan institusi pengajian tinggi, agensi kerajaan, dan syarikat swasta.

“Usaha ini juga termasuk alat bantu seperti MyBijakNiaga, iaitu alat perakaunan asas digital untuk membantu PMKS mendigitalkan pengurusan operasi perniagaan mereka,” katanya menambah bahawa AKPK melancarkan aplikasi MyBijakNiaga baru-baru ini untuk menyokong PMKS dalam usaha tersebut.

Mengenai tema 'Jiwa Merdeka', Azaddin menegaskan bahawa kebebasan kewangan adalah aspek penting dalam mencapai kesejahteraan hidup.

“Kami di AKPK ingin menyeru rakyat Malaysia agar tidak berlengah atau ragu untuk mendapatkan khidmat nasihat kewangan percuma yang disediakan untuk semua golongan. Jangan malu atau segan untuk datang kepada kami. Kami sentiasa bersedia membantu supaya anda dapat mencapai kebebasan kewangan yang diimpikan,” katanya.

Sehingga kini, AKPK terus bergerak secara proaktif untuk memastikan rakyat Malaysia bebas daripada bebanan kewangan, sambil mengukuhkan matlamat agensi untuk menjadi pemangkin kesejahteraan kewangan dalam kalangan masyarakat.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan