WILAYAH - TIMUR > BERITA

Jururawat Mengaku Tidak Bersalah Sebabkan Kematian Bayi Berusia Sebulan

17/09/2024 01:24 PM

KOTA BHARU, 17 Sept (Bernama) -- Seorang jururawat mengaku tidak bersalah Mahkamah Sesyen di sini, hari ini terhadap pertuduhan pengabaian sehingga menyebabkan kematian seorang bayi lelaki berusia sebulan, minggu lepas.

Nur Ain Natasha Mohd Sabri, 22, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.

Berdasarkan pertuduhan, Nur Ain Natasha sebagai individu yang mempunyai pemeliharaan terhadap bayi lelaki tersebut, didakwa mendedahkan mangsa kepada situasi yang mungkin menyebabkan kecederaan antara pukul 4.47 pagi hingga 5.30 pagi, pada 9 Sept lalu di sebuah pusat jagaan berpantang di sini.

Wanita itu dituduh mengikut Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31(1) akta yang sama yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara hingga 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Siti Edabayu Subhan memohon mahkamah tidak memberikan jaminan kepada jururawat itu kerana ia kesalahan yang serius, namun peguam Nur Alini Ahamad Kamil memohon mahkamah membenarkan anak guamannya diikat jamin atas alasan dia masih muda, tidak mempunyai rekod jenayah dan boleh memberi kerjasama dalam siasatan kes tersebut.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin selain perlu melapor diri di balai polis berdekatan setiap bulan dan menetapkan 3 Okt ini untuk sebutan semula kes.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan