WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Jenayah 'Phone Scam' Di Manjung Babitkan Kerugian Lebih RM750,000 Setakat September

17/09/2024 04:01 PM

IPOH, 17 Sept (Bernama) -- Kerugian akibat penipuan menerusi panggilan telefon (phone scam) bagi daerah Manjung berjumlah RM782,766.11 membabitkan keseluruhan 39 kes dari Januari hingga September tahun ini.

Ketua Polis Daerah Manjung ACP Mohamed Nordin Abdullah berkata berdasarkan rekod polis itu, pihaknya mendapati antara modus operandi penipuan adalah suspek menghubungi mangsa dengan menyamar sebagai pegawai penguat kuasa.

Beliau berkata antaranya suspek menyamar sebagai pegawai polis, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), mahkamah, institusi kewangan atau syarikat perkhidmatan penghantaran barang (kurier).

“Suka diingatkan, semua urusan dengan agensi kerajaan hanya dilakukan di pejabat dan tidak melalui panggilan telefon kecuali untuk tujuan janji temu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata orang ramai dinasihatkan mengambil langkah berhati-hati bagi mencegah daripada ditipu, antaranya tidak melayan panggilan telefon daripada nombor tidak dikenali, memberitahu kenalan berkenaan panggilan yang diterima serta menyemak dengan pihak berkuasa berkaitan untuk pengesahan.

Sementara itu, Mohamed Nordin berkata pihaknya menerima satu laporan polis semalam berkaitan penipuan phone scam melibatkan mangsa lelaki berusia 64 tahun yang merupakan seorang pesara kerajaan mengalami kerugian RM5,000 akibat diperdaya suspek terbabit.

“Mangsa menerima panggilan telefon daripada individu yang menyamar sebagai pegawai polis dan menawarkan untuk menyelesaikan siasatan dengan tujuan membebaskan individu dalam tahanan pihak polis bersabit kes narkotik IPD (Ibu Pejabat Polis Daerah) Manjung,” katanya menambah kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

-- BERNAMA

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan