WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Wisma Putra Nasihatkan Rakyat Malaysia Di Poland, Republik Czech Waspada Susulan Banjir

17/09/2024 04:47 PM

PUTRAJAYA, 17 Sept (Bernama) -- Rakyat Malaysia yang menetap atau berkunjung ke kawasan terjejas banjir di Poland dan Republik Czech dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dan mematuhi arahan keselamatan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan.

Kementerian Luar Negeri Malaysia dalam satu kenyataan pada Selasa memaklumkan bahawa kedutaan di kedua-dua negara sedang memantau situasi banjir yang melanda beberapa kawasan di Poland, terutamanya di kawasan sempadan kedua-dua negara itu.

Hujan lebat sejak minggu lalu menyebabkan paras air meningkat, merosakkan infrastruktur dan memaksa penduduk untuk berpindah.

"Rakyat Malaysia yang menetap atau melawat kawasan terjejas dinasihatkan untuk sentiasa berwaspada dan mematuhi arahan keselamatan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan.

"Pastikan anda memperoleh maklumat terkini daripada sumber berita yang boleh dipercayai serta patuhi garis panduan pemindahan serta keselamatan tempatan," menurut kementerian itu yang turut dikenali sebagai Wisma Putra.

Kementerian turut memantau rapat situasi di Hungary, Romania dan Slovakia susulan kejadian serupa mungkin berlaku.

Rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular atau yang belum mendaftar dinasihatkan untuk menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Poland di alamat: Tingkat 9, Warsaw Towers, ul. Sienna 39, 00-121 Warsaw, Poland. Telefon: +48 22 617 4413 / +48 22 617 6256 atau Emel: mwwarsaw2021@gmail.com.

Bagi mereka yang berada di Republik Czech boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Czechia: Alamat: Komornicka 1852/25, Praha - 6 Dejvice, Prague, Czechia. Telefon: (+420) 234-706-600 / (+420) 296-326-192 atau emel: mwprague@kln.gov.my.

Wisma Putra turut menggesa rakyat Malaysia untuk mendaftar kehadiran mereka melalui E-Konsular bagi menerima maklumat dan sokongan tepat pada masanya.

"Kementerian Luar Negeri akan terus memantau situasi dengan teliti dan memberi maklumat terkini yang diperlukan bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan semua rakyat Malaysia di kawasan terjejas," menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan