WILAYAH - UTARA > BERITA

Ibu Muda Dalam Pantang Antara Mangsa Banjir Di Perlis

18/09/2024 08:45 PM

ARAU, 18 Sept (Bernama) -- Ibu muda dalam pantang 21 hari antara mangsa banjir di Perlis yang kini ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Arau di sini. 

Ketika ditemui pemberita, Noor Masizwani Mustam, 24, dari Kampung Titi Besi di sini berkata banjir kali ini satu pengalaman baharu untuknya kerana perlu berpantang di PPS.

Noor Masizwani yang melahirkan anak pertama berkata beliau bersama ahli keluarga termasuk ibu bapanya diselamatkan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan dibawa berpindah ke PPS SK Arau kira-kira 12 tengah malam tadi.

"Semasa hujan lebat petang semalam dan air mula naik itu saya dah mula rasa bimbang memikirkan keadaan diri yang dalam pantang dan anak perempuan saya ini, saya pula melahirkan anak secara pembedahan, luka pembedahan masih terasa sakit dan tak boleh lasak lagi.

"Nasib baik rumah mak ayah saya ini dua tingkat, saya duduk di tingkat atas untuk elak kejadian tidak diingini dan APM datang ambil kami pada 12 tengah malam untuk pindah ke sini (PPS SK Arau)," katanya.

Sementara itu, ibunya Hasmini Hashim, 50, berkata air mula naik di rumah mereka kira-kira 5.30 petang semalam selepas hujan lebat dan terus meningkat ke paras lutut sebelum mereka berpindah ke PPS itu.

"Sebelum itu, rumah kami dah dinaiki air pada 4.30 pagi (semalam) dan surut sekitar 2 petang...tetapi dalam 5.30 petang air naik balik sebab hujan lebat, kami boleh dikatakan setiap tahun dalam bulan September memang kena pindah mai PPS," katanya.

Beliau berkata mereka sekeluarga telah membuat persediaan awal memindahkan barangan penting ke tempat tinggi dan perbezaan kali ini anak perempuannya berada dalam pantang semasa banjir berlaku.

Di Perlis terdapat dua PPS dibuka iaitu di SK Arau dan SK Sena, Kangar yang kini menempatkan seramai 45 mangsa banjir daripada 15 keluarga setakat 2 petang hari ini.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan