WILAYAH - TENGAH > BERITA

CAAM Harus Perkukuhkan Keupayaan Untuk Tangani Cabaran Penerbangan Global - Timbalan Menteri

18/09/2024 11:55 AM

KUALA LUMPUR, 18 Sept (Bernama) -- Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) harus terus meningkatkan keupayaannya untuk menambah baik dari segi keselamatan dan kapasiti, memastikan ia dapat menghadapi cabaran serantau dan global yang muncul.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah berkata penambahbaikan itu penting bagi mengekalkan unjuran pertumbuhan sektor penerbangan awam negara.

Beliau berkata rantau Asia Pasifik telah menjadi pasaran penerbangan terbesar di dunia dan memegang bahagian terbesar dalam penumpang bagi setiap kilometer (RPK) serta terus berkembang dengan cabaran melibatkan kapasiti, kecekapan dan keselamatan trafik udara.

“Pertumbuhan trafik udara yang tidak terurus boleh membawa kepada peningkatan risiko keselamatan apabila ia mengatasi kawal selia dan pembangunan infrastruktur diperlukan untuk menyokongnya,” katan ketika berucap pada majlis pelancaran Seminar Keselamatan Penerbangan Malaysia (MASS’24) hari ini.

Beliau berkata perancangan keselamatan penerbangan di peringkat antarabangsa, serantau dan nasional adalah penting untuk mengurus pertumbuhan dengan cara yang selamat, cekap dan bertanggungjawab terhadap alam sekitar.

“Justeru, menangani isu berkaitan keselamatan memerlukan kerjasama daripada pelbagai pihak berkepentingan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menekankan komitmen Kementerian Pengangkutan menerusi CAAM untuk mengekalkan usaha dan kerjasama secara berterusan untuk mengutamakan keselamatan penerbangan.

“Ini termasuk melaksanakan pengawasan keselamatan dan keselamatan berkesan, aktiviti pengurusan keselamatan, berkongsi maklumat keselamatan dan memupuk budaya keselamatan yang kukuh dan positif,” katanya.

Hasbi juga berkata CAAM telah mengambil tindakan progresif untuk mewujudkan program komprehensif untuk meningkatkan pengawasan keselamatan dengan merombak dokumentasi yang berkaitan.

“19 lampiran telah dimasukkan ke dalam arahan penerbangan awam (CAD) dan semua bahan panduan subsidiari (CAGM) yang dikaitkan dengan CAD telah diterbitkan sebagai sebahagian daripada Sistem Jaminan Keselamatan dan Kualiti dan terus mengusahakan Pelan Tindakan Pembetulan (CAP),” katanya.

Selain itu, Malaysia kekal dalam komitmennya untuk menyokong kepimpinan dan bimbingan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) dalam mencapai pertumbuhan mampan sistem penerbangan awam global.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif CAAM Kapten Norazman Mahmud berkata perubahan persekitaran kawal selia memerlukan Malaysia kekal fleksibel dan proaktif.

“Sebagai pengawal selia dan penyedia perkhidmatan, kami tidak boleh menangani keselamatan penerbangan sahaja. Kami memerlukan sokongan dan penyertaan semua pihak berkepentingan,” katanya.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan