WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Malaysia Dalam Kedudukan Kukuh Dalam Persekitaran Ketidaktentuan Pilihan Raya Presiden AS - HLIB

18/09/2024 01:31 PM

KUALA LUMPUR, 18 Sept (Bernama) -- Hong Leong Investment Bank (HLIB) Bhd yakin bahawa pendirian geopolitik neutral Malaysia meletakkannya pada kedudukan yang lebih kukuh untuk menguruskan perubahan dasar luar yang mungkin berlaku di Amerika Syarikat (AS) selepas pilihan raya presiden 5 November depan.

Pilihan raya presiden AS akan menyaksikan pertandingan antara Kamala Harris dan Donald Trump untuk jawatan tertinggi negara itu.

HLIB dalam nota penyelidikan hari ini berkata kemenangan Trump mungkin membawa kepada ketidakstabilan ekonomi dan turun naik pasaran kerana beliau melakukan tindakan tanpa pertimbangan yang teliti.

“Menurut Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, jika Trump menang, ia memberi manfaat kepada Malaysia melalui perdagangan dan pelaburan langsung asing (FDI) sekiranya Trump meningkatkan perang perdagangan dengan China,” katanya.

Sebaliknya, kemenangan Harris mungkin membawa kesinambungan dengan dasar Joe Biden sebalum ini iaitu menawarkan keadaan yang lebih boleh dijangka, katanya.

Dalam tempoh terdekat, HLIB mengulangi jangkaannya bahawa Rizab Persekutuan (Fed) AS akan melaksanakan penurunan kadar -25 mata asas sebanyak tiga kali selepas mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan tahun ini sebagai tindak balas kepada inflasi yang menyederhana dan pasaran buruh yang semakin reda.

“Ini akan mengecilkan Kadar Dana Fed (FFR) dan Kadar Dasar Semalaman (OPR) yang memberi petunjuk positif untuk ringgit.

“Kami mengekalkan sasaran dolar US-ringgit bagi akhir 2024, ia akan berada pada 4.30 (purata: 4.60), dengan potensi untuk meningkat lagi,” katanya.

HLIB berkata ketidaktentuan global boleh meningkat apabila pilihan raya presiden AS semakin hampir.

Selain itu, ringgit yang lebih kukuh sudah terbukti sebelum ini bahawa ia akan menyokong FBM KLCI  yang cenderung menunjukkan prestasi lebih baik apabila mata wang tempatan meningkat.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan