WILAYAH - SABAH > BERITA

Program Regularisasi Bersasar: Majikan Sektor Perladangan, Pertanian Sabah Diminta Beri Kerjasama

18/09/2024 06:40 PM

KOTA KINABALU, 18 Sept (Bernama) -- Majikan yang terlibat dalam sektor perladangan dan pertanian di Sabah diminta tampil memberi kerjasama serta komitmen penuh kepada Program Regularisasi Bersasar dengan mendaftarkan pekerja masing-masing secara sah berkuat kuasa serta-merta hingga Disember ini.

Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah Datuk Sh Sitti Saleha Habib Yusof berkata majikan kedua-dua sektor perlu memastikan bahawa mereka mendapat kelulusan dan persetujuan daripada pihak berkuasa Kerajaan Negeri Sabah mengenai jumlah pekerja yang diperlukan di ladang masing-masing sebelum pas lawatan kerja sementera dikeluarkan.

Beliau berkata ini kerana JIM Sabah hanya mengeluarkan pas itu berdasarkan surat kelulusan kerajaan negeri kepada majikan.

"Apabila pekerja ini mendapat pasport mereka daripada kedutaan masing-masing, majikan hendaklah menyelaraskan urusan permohonan pas lawatan kerja sementara daripada pihak Imigresen dan selepas pas itu dikeluarkan maka mereka sah dari segi perundangan untuk berada di Sabah melakukan pekerjaan dalam sektor pertanian dan perladangan.

"Itu harapan kita. Mereka (majikan) tidak boleh duduk diam sebaliknya perlu memainkan peranan utama dan bertanggungjawab untuk menguruskan perkara ini," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Sh Sitti Saleha berkata pihaknya akan melaksanakan operasi secara besar-besaran selepas program itu dijalankan dan JIM Sabah tidak akan berkompromi malah bakal mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana majikan yang gagal hadir ke jabatan itu sehingga penghujung tahun ini.

Beliau berkata program itu mula dilaksanakan pada April 2019 dengan memfokus kepada hasrat kerajaan untuk mengurangkan pendatang tanpa izin warga Indonesia dan Filipina yang kebanyakannya bekerja tanpa pas yang sah dalam sektor perladangan serta pertanian di Sabah.

Bagaimanapun, katanya program itu ditangguhkan berikutan prestasi tidak konsisten yang menjejaskan kelancaran selain penularan wabak COVID-19, isu kekurangan bekalan pasport dan tiada kerjasama daripada pihak majikan.

"Seramai 123,575 orang telah diluluskan oleh kerajaan negeri di bawah program ini pada 2019 tetapi akibat tertangguh, masih ada lagi baki sebanyak 26,925 yang belum tampil untuk memohon pas lawatan kerja sementara ini," katanya.

Sh Sitti Saleha juga berkata pihak berkuasa negeri telah meminta JIM untuk menyambung semula program itu sepertimana yang diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Induk Pengurusan Warga Asing di Sabah pada 25 Julai lepas.

Sebagai permulaan, beliau berkata pihak berkuasa negeri Sabah akan menyelaras persiapan awal dengan melakukan pendaftaran bagi tujuan Program Regularisasi Bersasar membabitkan 274 warga asing kategori tidak sah daripada tiga syarikat perladangan yang telah dikenal pasti.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan