WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Pokok Tumbang: Dua Parah Di Perak, 23 Panggilan Kecemasan Diterima Di Sabah

18/09/2024 09:51 PM

IPOH, 18 Sept (Bernama) -- Sebanyak 17 kes melibatkan kejadian pokok tumbang berlaku di Perak hari ini, menyebabkan beberapa kenderaan musnah selain membabitkan mangsa tercedera. 

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri Sabarodzi Nor Ahmad berkata maklumat itu diperoleh daripada laporan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) di seluruh negeri setakat 4.43 petang tadi berkaitan kejadian berkenaan.

Beliau berkata dua cedera parah dalam kejadian sebuah kenderaan jenis Perodua Alza dan motosikal Yamaha Y15 dihempap pokok tumbang ketika melalui kawasan di Jalan Kamunting berhampiran Taman Glen View dekat Kamunting.

Sabarodzi berkata bomba menerima panggilan pada 12.53 tengah hari tadi dan mendapati penunggang motosikal iaitu lelaki berusia dalam lingkungan 40-an dan anak perempuannya berusia anggaran 15 tahun cedera parah dan tidak sedarkan diri ketika bomba tiba.

"Dua daripada lima wanita yang menaiki Perodua Alza pula cedera ringan manakala tiga lagi tidak mengalami sebarang kecederaan dengan kesemua mereka dianggarkan berusia antara 16 hingga 35 tahun," katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata kejadian sama turut berlaku di Gerik melibatkan sebuah kereta jenis Proton Waja, namun kenderaan telah dialihkan orang awam dan tiada mangsa yang terlibat.

Selain itu katanya, kejadian di Batu 1, Jalan Lintang di Sungai Siput menyebabkan kereta jenis Proton Perdana dan sebuah lori muatan satu tan yang diletakkan di tepi jalan dihempap dahan pokok tumbang, bagaimanapun tiada mangsa terjejas.

Sementara itu, di KOTA KINABALU, JBPM Sabah menerima 23 kes panggilan kecemasan melibatkan pokok tumbang dari 7.14 pagi hingga 3.06 petang tadi di 11 daerah dipercayai akibat angin kuat, hujan lebat dan cuaca yang tidak menentu.

Pusat Gerakan Operasi JBPM negeri dalam kenyataan memaklumkan terdapat lima kes pokok tumbang di Kota Kinabalu, Penampang empat kes, Tenom dan Kuala Penyu masing-masing tiga kes, dua kes di Papar dan satu kes masing-masing di Sook, Kota Belud, Sipitang, Tuaran, Putatan dan Kudat.

"Tiada sebarang kemalangan jiwa direkodkan dan maklumat akan sentiasa dikemas kini dari semasa ke semasa," menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan