WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Banjir: Jumlah Mangsa Di Kedah Dan Pulau Pinang Berkurang, Di Perlis Meningkat

18/09/2024 07:37 PM

KUALA LUMPUR, 18 Sept (Bernama) -- Jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Kedah dan Pulau Pinang mencatatkan sedikit penurunan petang ini manakala di Perlis meningkat.

Di KEDAH,  mangsa banjir di enam daerah iaitu Kubang Pasu, Pendang, Kulim, Pokok Sena, Kuala Muda dan Kota Setar yang dipindahkan ke 15 PPS berkurang kepada 2,108 orang daripada 554 keluarga setakat 2 petang ini berbanding 2,194 orang pagi tadi.

Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kedah Datuk Zulkhairi Zainol Abidin berkata jumlah mangsa banjir di daerah Pokok Sena berkurang kepada 745 mangsa daripada 202 keluarga yang dipindahkan ke dua PPS, manakala daerah Kota Setar sebanyak 575 mangsa daripada 120 keluarga ditempatkan di tiga PPS.

"Di Pendang, sebanyak 326 mangsa daripada 77 keluarga ditempatkan di dua PPS manakala 300 mangsa daripada 98 keluarga ditempatkan di empat PPS di Kubang Pasu," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata di Kulim, 108 mangsa daripada 34 keluarga ditempatkan di tiga PPS serta 54 mangsa daripada 23 keluarga ditempatkan di sebuah PPS di Kuala Muda.

Sementara itu, laman sesawang Public Infobanjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memaklumkan satu lagi sungai di negeri itu berada pada paras bahaya iaitu Sungai Kedah di Jambatan Lebuhraya, Kota Setar, menjadikan keseluruhan sembilan sungai berada pada paras bahaya.

Lapan lagi sungai di Kedah yang turut melepasi paras bahaya ialah Sungai Padang Terap di Kepala Batas; Sungai Bata di Kampung Bata; Sungai Laka di Kampung Padang Pasir, Kubang Pasu; Sungai Anak Bukit di Taman Aman dan Sungai Anak Bukit di Jambatan TAR, Kota Setar.

Selain itu, Sungai Titi Kerbau di Kubur Panjang, Pendang; Sungai Perik di Kampung Perik, Padang Terap dan Sungai Gurun di Kampung Perupok, Yan.

Di PULAU PINANG, jumlah mangsa banjir di 10 PPS di tiga daerah iaitu Seberang Perai Utara (SPU), Seberang Perai Tengah (SPT) dan Seberang Perai Selatan(SPS) menurun kepada 623 orang setakat 3.11 petang berbanding 635 orang pagi tadi.

Berdasarkan laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pulau Pinang, daerah SPU masih mencatatkan jumlah mangsa banjir paling ramai iaitu 430 orang daripada 115 keluarga yang ditempatkan di empat PPS iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Menora, SK Lahar Yooi, Sekolah Agama Rakyat Nyior Sebatang dan Pusat Penempatan Banjir Labuh Banting.

Menurut sekretariat itu empat PPS turut dibuka di daerah SPT yang menempatkan 125  mangsa daripada 32 keluarga iaitu Sekolah Rendah Islam Maahad At Tarbiah Guar Jering, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Permatang Pasir, SMK Permatang Rawa dan SK Seri Penanti.

Di SPS pula 68 mangsa daripada 25 keluarga ditempatkan di PPS Dewan MPKK Sanglang dan Dewan Serbaguna Sungai Bakap manakala PPS Dewan Orang Ramai Bukit Teh yang sebelum ini menempatkan 34 mangsa daripada 11 keluarga ditutup tengah hari tadi selepas penduduk dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

Sekretariat itu memaklumkan hingga 3 petang ini beberapa kawasan sekitar daerah SPU masih mengalami hujan berserta angin kencang dan ombak besar yang menghempas deretan kedai di Pantai Bersih dan Bagan Ajam.

Di PERLIS, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 45 orang daripada 15 keluarga setakat 2 petang ini berbanding 41 orang pada sebelah pagi tadi yang ditempatkan di PPS SK Arau dan SK Sena, Kangar.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Perlis Lt Kol (PA) Mohd Izaimi Md Daud berkata jumlah mangsa di PPS SK Sena ialah 12 orang daripada tujuh keluarga manakala di SK Arau pula 33 orang daripada lapan keluarga.

"Mangsa banjir yang terlibat ini dari Kampung Titi Besi di Arau dan Kampung Tok Kandang di Kangar," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengikut laman sesawang Public Infobanjir JPS paras air Sungai Gial di Arau merekodkan 8.88 meter iaitu melebihi tahap amaran setakat pukul 2 petang ini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan