WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Petra Jangka Kehadiran Pengunjung Ke PMR 2024 Sarawakku Sayang Lepasi Sasaran

28/09/2024 07:59 PM

MIRI, 28 Sept (Bernama) -- Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) menjangkakan kehadiran pengunjung ke Program MADANI Rakyat (PMR) 2024 Sarawakku Sayang di Dataran Pekarangan Boulevard Mall di sini mampu melepasi sasaran 100,000 orang yang ditetapkan sebelum ini.

Ketua Setiausaha PETRA Datuk Mad Zaidi Mohd Karli berkata sebagai kementerian peneraju untuk penganjuran PMR kali ini, beliau yakin sasaran itu mampu dicapai berdasarkan angka pengunjung setakat ini.

“Berdasarkan maklumat yang saya terima, semalam sahaja (hari Jumaat) kita telah menerima kunjungan lebih kurang 47,000 orang. Hari ini, Sabtu, saya yakin bahawa jumlah pengunjung yang hadir ke PMR kali ini insya-Allah akan lebih,” katanya.

Bercakap kepada Bernama dalam temu bual eksklusif di Pavilion PETRA, beliau berkata rata-rata pengunjung tertarik dengan promosi perkhidmatan yang ditawarkan sama ada oleh kerajaan Persekutuan mahupun kerajaan Sarawak.

“Antara yang paling menarik saya fikir ialah perkhidmatan yang diberikan oleh kerajaan Sarawak, sebab itu satu perkhidmatan yang lain daripada PMR sebelum ini yang berlangsung di Semenanjung. Di Sarawak ini ada kelebihan sebab kita ada perkhidmatan yang khas kepada rakyat Sarawak,” katanya.

Dalam pada itu, beberapa pengunjung yang ditemui Bernama menyatakan kepuasan mereka terhadap perkhidmatan dan aktiviti yang terdapat dalam PMR 2024 Sarawakku Sayang.

Karambir Singh berkata program berkenaan merupakan aktiviti promosi perkhidmatan kerajaan terbesar pernah diadakan di bandar raya Miri sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

“Kewujudan program ini adalah sangat bermanfaat dan sangat bermaklumat. Saya sendiri telah menukar kad pengenalan saya kepada yang baharu.

“Perkhidmatan diberikan sangat baik, sangat cekap. Saya harap orang Miri yang masih belum datang ke program ini akan datang ke sini kerana banyak perkara yang boleh mereka manfaatkan,” katanya.

Rosman Ujang, 39, penduduk bandar Bintulu yang terletak lebih kurang 200 kilometer dari Miri berkata tempoh tiga hari penganjuran PMR tidak cukup untuk beliau meninjau kesemua reruai.

 “Lain kali mungkin penganjur dapat mempertimbangkan untuk mengadakannya dalam tempoh yang lebih panjang lagi supaya lebih ramai rakyat dapat manfaat,” katanya.

PMR 2024 Sarawakku Sayang yang melibatkan perkhidmatan semua kementerian di peringkat Persekutuan dan negeri bertujuan memperkenalkan pelbagai inisiatif yang dilaksanakan kerajaan untuk kesejahteraan rakyat.

Program yang berakhir esok (bermula 9 pagi hingga 6 petang) membawakan lebih 200 perkhidmatan kerajaan secara langsung kepada orang ramai, antara lain memfokuskan kepada aktiviti kesejahteraan rakyat, agenda perpaduan, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta karnival kerjaya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan