WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Xi Gesa Usaha Gigih Lakar Pencapaian Baharu, Menyumbang Kepada Keamanan Manusia

01/10/2024 03:13 PM

BEIJING 1 Okt (Bernama-CMG) -- Rakyat China pasti akan melakar pencapaian yang lebih gemilang dan memberikan sumbangan yang lebih besar kepada keamanan dan pembangunan manusia pada zaman baharu, menurut Presiden Xi Jinping.

Xi yang juga Setiausaha Agung Jawatankuasa Pusat Parti Komunis China (PKC), dan Pengerusi Suruhanjaya Ketenteraan Pusat China menyifatkan usaha memangkin agenda pemerkasaan negara dan mengangkat maruah bangsa dengan pembangunan modenisasi ala China merupakan misi utama parti dan negara itu pada era baharu.

"Cara terbaik untuk meraikan ulang tahun Republik Rakyat China (RRC) adalah dengan meneruskan perjuangan mulia ini yang tiada tolok banding sejak dahulu," katanya semasa berucap pada majlis resepsi yang diadakan di sini pada Isnin untuk meraikan ulang tahun ke-75 RRC.

Mengulas lanjut, Xi menyifatkan aspirasi mengangkat maruah bangsa China adalah dicetuskan bersama oleh seluruh rakyat China, termasuk sanak saudara dari Hong Kong, Macao dan Taiwan.

"Pelbagai pihak perlu melaksanakan dengan tetap dan tegas prinsip ‘Satu Negara, Dua Sistem’, dan ‘mengekalkan lokaliti dan kemandirian dalam pentadbiran autonomi Hong Kong dan Macao’ bagi memelihara dan menggalakkan kemakmuran dan kestabilan di kedua-dua kawasan pentadbiran khas itu untuk jangka masa yang panjang," kata Xi.

Xi menegaskan, Taiwan merupakan sebahagian daripada wilayah China.

“Penyatuan semula tanah air merupakan trend perkembangan zaman, aspirasi rakyat, dan tiada siapa yang dapat menghalang roda sejarah ini daripada bergerak maju,” kata beliau.

Xi berkata rakyat dari semua negara yang hidup di Bumi berkongsi nasib yang sama.

"Usaha perlu dilakukan untuk menyemarakkan nilai universal, menyokong multipolar dunia yang sama rata dan teratur, globalisasi ekonomi yang inklusif, menggalakkan pelaksanaan Inisiatif Pembangunan Global, Inisiatif Keselamatan Global dan Inisiatif Peradaban Global. Kita juga perlu mengambil bahagian secara aktif dalam pembaharuan dan pembinaan sistem tadbir urus global bagi menggalakkan pembinaan komuniti berkongsi nasib sesama insan," kata Xi.

Xi menambah, modenisasi ala China telah membentangkan prospek cerah dan cemerlang selepas 75 tahun perjuangan gigih, dan kemajuan rakyat China tidak akan terhenti walaupun menghadapi pelbagai kesukaran.

Majlis resepsi itu dipengerusikan oleh Perdana Menteri China Li Qiang,  dan disempurnakan dengan kehadiran pemimpin negara Zhao Leji, Wang Huning, Cai Qi, Ding Xuexiang, Li Xi dan Han Zheng, serta 3,000 tokoh dari dalam dan luar negeri.

-- BERNAMA-CMG


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan