WILAYAH - SABAH > BERITA

Warisan Akan Sokong Tambahan Kerusi Parlimen Baharu Sabah Dibawa Ke Parlimen

02/10/2024 07:34 PM

KOTA KINABALU, 2 Okt (Bernama) -- Parti Warisan (Warisan) hari ini menyatakan komitmennya untuk memberikan sokongan sekiranya cadangan persempadanan semula kawasan pilihan raya di Sabah dibawa ke Parlimen.

Presiden Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata ini kerana keluasan dan jumlah pengundi di sesebuah kawasan di Sabah antara asas penting untuk penambahan bilangan kerusi Parlimen baharu di negeri itu.

Mengambil contoh Kinabatangan dan Lahad Datu, Mohd Shafie berkata keluasan kedua-dua daerah itu adalah lebih besar dari Perlis, namun hanya mempunyai seorang Ahli Parlimen berbanding tiga Ahli Parlimen di Perlis.

“Penambahan bilangan kerusi Parlimen di Sabah adalah perlu untuk memastikan keberkesanan dalam aspek pengurusan pentadbiran rakyat,” kata Ahli Parlimen Semporna itu kepada pemberita selepas Program Sembang Santai Bersama Media di sini hari ini. 

Semalam, Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata Sabah mencadangkan pertambahan kerusi Parlimen bagi memenuhi kuota 35 peratus atau satu pertiga daripada keseluruhan kerusi Parlimen di negara ini selaras dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Perkara itu turut disuarakan Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg baru-baru ini. 

Sabah dan Sarawak ketika ini mempunyai 56 kerusi Parlimen dengan 31 di Sarawak dan 25 di Sabah daripada keseluruhan 222 kerusi.

Ia hanya 25 peratus berbanding 74 kerusi Parlimen sepatutnya dimiliki kedua-dua negeri dan memerlukan pertambahan 18 lagi kerusi Parlimen dengan mengambil kira 35 peratus atau satu pertiga seperti termaktub dalam MA63.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan