WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Pemandu Bas Sekolah Akan Didakwa Selepas Kebakaran Ragut 23 Nyawa, Kata Polis Thailand

02/10/2024 10:01 PM

Oleh Kenny Teng

BANGKOK, 2 Okt (Bernama) -- Polis Thailand akan mendakwa pemandu bas sekolah yang terbakar, mengakibatkan kematian 23 pelajar dan guru di sini pada Selasa.

Pemangku Ketua Pesuruhjaya Polis Diraja Thailand, Pol. Jen. Kittharath Punpetch berkata pemandu itu menyerah diri pada lewat petang Selasa dan sedang disoal siasat di balai polis Khu Khot.

Beliau berkata pemandu itu akan didakwa di bawah Kanun Keseksaan kerana memandu secara cuai sehingga menyebabkan kematian.

"Suspek mengaku bersalah dan penyiasat menahannya di balai polis Khu Khot," kata Kittharath pada sidang akhbar pada Rabu.

"Penyiasat telah menemu bual saksi, mengumpul bukti dari tempat kejadian dan meneliti rakaman CCTV."

Beliau berkata bas itu dilengkapi 11 tong gas, tetapi hanya enam daripadanya yang berdaftar.

"Siasatan forensik diperlukan. Mereka yang bertanggungjawab akan didakwa."

Institut Perubatan Forensik Hospital Polis sedang bekerjasama dengan Pejabat Sains Forensik Polis untuk mengesahkan identiti mangsa.

Susulan kejadian itu, Kementerian Pendidikan Thailand mengarahkan penggantungan serta-merta semua lawatan lapangan sekolah.

Menteri Pendidikan Permpoon Chidchob berkata jika lawatan seperti itu diperlukan, langkah keselamatan dan rancangan perjalanan yang ketat mesti dilaksanakan dan Jabatan Pengangkutan Darat mesti memeriksa keadaan kenderaan sebelum perjalanan.

"Bermula sekarang, kenderaan yang digunakan untuk lawatan sekolah tidak boleh berusia lebih daripada lima tahun. Siasatan mendapati bas yang terlibat dalam kejadian ini adalah kenderaan lama, berusia beberapa dekad," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan