WILAYAH - SARAWAK > BERITA

GISBH: Majlis Agama Bertindak, Fokus Jenayah Syariah

02/10/2024 10:59 PM

KUALA LUMPUR, 2 Okt (Bernama) -- Beberapa pihak berkuasa agama Islam telah mengambil tindakan terhadap pengikut GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) yang disyaki terlibat dengan pelbagai kesalahan jenayah.

Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) memaklumkan telah menahan 108 individu dikaitkan dengan syarikat itu yang dipercayai terlibat dalam jenayah syariah membabitkan akidah, pungutan khairat tanpa kebenaran dan perkahwinan.

Pengarahnya Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata siri tangkapan itu dijangka berterusan melibatkan suspek yang disyaki dan telah dikenal pasti berdasarkan risikan, aduan dan maklumat yang diterima oleh JAIS.

Beliau berkata hasil siasatan JAIS terhadap kesemua suspek mendapati wujud beberapa fakta mengenai amalan dan kepercayaan mereka yang bercanggah dengan fatwa yang dikuatkuasakan.

Siasatan juga mendapati perkahwinan dan perceraian diatur oleh pemimpin kumpulan manakala akad dijalankan dengan cara ditentukan oleh pemimpin selain perkahwinan tidak dapat dibuktikan dengan keterangan dokumen yang sah.

Mohd Shahzihan berkata siasatan juga menunjukkan perkahwinan antara anak dara dan teruna dibuat tanpa kebenaran Pendaftar Perkahwinan, Cerai dan Rujuk Orang Islam Negeri Selangor manakala poligami yang dilakukan tanpa kebenaran Mahkamah Syariah yang berbidang kuasa.

Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) pula menubuhkan Jawatankuasa Khas Pemurniaan Pengikut-Pengikut GISBH yang berperanan merangka gerak kerja pemulihan akidah.

Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata jawatankuasa itu turut menyelaras pendidikan persekolahan, penempatan dan bantuan yang boleh disalurkan kepada anak-anak pengikut GISBH.

Beliau berkata MAINJ juga akan menggunakan kekuatan enakmen sedia ada dan bekerjasama dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia bagi meneliti serta mengkaji termasuk membuat sebarang ketetapan yang berkaitan dengan status GISBH.

Sementara itu, Kerajaan Negeri Terengganu akan meneliti dari sudut perundangan terlebih dahulu sebelum mengendalikan urusan sitaan terhadap premis perniagaan milik GISBH.

Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata proses itu akan mengambil sedikit masa kerana perlu merujuk pihak berkuasa agama dan undang-undang sebelum melaksanakan langkah seterusnya.

Sebelum ini, beliau berkata urusan pembatalan atau penggantungan lesen akan ditentukan oleh hasil mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam. 

Pada awal September lepas, Polis Diraja Malaysia melancarkan Op Global dan menyerbu rumah amal di seluruh Semenanjung Malaysia yang dikaitkan dengan GISBH kerana disyaki terlibat dalam kegiatan eksploitasi kanak-kanak serta agama.

Serbuan itu menyaksikan sejumlah 572 mangsa berjaya diselamatkan dan membawa kepada penahanan 359 pengikut GISBH termasuk pihak pengurusan tertinggi.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan