WILAYAH - SELATAN > BERITA

GISBH: Johor Tubuh Jawatankuasa Khas Pulih Akidah, Selaras Bantuan Anak Pengikut

02/10/2024 08:46 PM

JOHOR BAHRU, 2 Okt (Bernama) -- Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) menubuhkan Jawatankuasa Khas Pemurniaan Pengikut-Pengikut GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) yang akan berperanan merangka gerak kerja pemulihan akidah.

Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata jawatankuasa berkenaan turut menyelaras pendidikan persekolahan, penempatan dan bantuan yang boleh disalurkan kepada anak-anak pengikut GISBH.

“Kerajaan negeri akan mengambil tindakan tegas kepada mana-mana pihak yang melakukan jenayah terhadap kanak-kanak dan amalan-amalan yang bertentangan dengan akidah demi memelihara kesucian agama Islam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata MAINJ juga akan menggunakan kekuatan enakmen sedia ada dan bekerjasama dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bagi meneliti serta mengkaji termasuk membuat sebarang ketetapan yang berkaitan dengan status GISBH.

Sementara itu, Onn Hafiz berkata 30 kanak-kanak dan remaja berjaya diselamatkan menerusi Op Global yang dijalankan di Johor Bahru, Kluang, Segamat, Kota Tinggi dan Mersing dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) serta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pada 20 dan 21 Sept lepas.

Beliau berkata kesemua mangsa ditempatkan di bawah jagaan JKM bagi tempoh sebulan dan MAINJ turut menyalurkan peruntukan sebanyak RM20,000 kepada JKM untuk keperluan pakaian dan buku pelajaran mereka.

Onn Hafiz berkata operasi melibatkan pemeriksaan lapan premis milik GISBH itu turut membawa kepada penahanan 29 individu dan penemuan lebih 20 buku serta risalah mencurigakan berkaitan Aurad Muhammadiah.

“Daripada jumlah yang ditahan, lapan daripadanya telah ditangkap semula kerana disyaki memiliki buku berkaitan Aurad Muhammadiah.

“Hal ini kerana, memiliki atau menyimpan risalah yang telah diwartakan haram merupakan satu kesalahan di bawah Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 1997 Seksyen 9, Mengingkari Pihak Berkuasa dan Seksyen 13, penerbitan bersalahan dengan hukum syarak,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan