WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Kira-kira 70 Pasukan Berentap Dalam Melaka Explorace 2024 Hujung Minggu Ini

02/10/2024 11:13 PM

KUALA LUMPUR, 2 Okt (Bernama) -- Kira-kira 70 pasukan akan berentap dan menjelajah negeri yang diisytihar sebagai bandaraya bersejarah sempena Melaka Explorace 2024 hujung minggu ini iaitu pada 5 dan 6 Okt.

Clerk-of-Course M. Govind Nair berkata mereka akan meneroka keindahan dan keunikan Melaka yang kaya dengan sejarah serta warisan di tiga daerah iaitu Melaka Tengah, Alor Gajah dan Jasin melalui aktiviti mencari harta karun dengan berjalan kaki, berkenderaan serta menaiki beca dan bot (river cruise).

“Melaka Explorace 2024 ini akan bawa para peserta melihat kawasan seperti muzium yang penuh dengan sejarah dan warisan. Selain itu, tempat-tempat makan yang istimewa seperti CendolJjam Besar dan akhir sekali, explorace ini akan tamat di rumah kebajikan.

“Setiap kali kita buat aktiviti mencari harta karun, kita sering memasukkan elemen kebajikan… pada akhir program itu nanti, para peserta akan berhibur dan bermain beberapa aktiviti bersama penghuni di sebuah rumah kebajikan di Jasin,” katanya kepada Bernama selepas memberi Taklimat Melaka Explorace 2024 di Wisma Bernama malam ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia  (Bernama) Nur-ul Afida Kamaludin dan Ketua Pengarang agensi berita itu, Arul Rajoo Durar Raj.

Govind Nair berkata sebanyak tiga kategori dipertanding iaitu Terbuka (orang ramai),  Agensi Kerajaan Negeri Melaka/Bernama dan Media. 

Beliau berkata majlis penyampaian hadiah akan berlangsung pada 6 Okt dan peserta dengan busana tradisional yang menggambarkan kepelbagaian masyarakat di Melaka berpeluang memenangi hadiah menarik.

Program bertemakan 'Mana Lagi, Melaka Ler!' itu dianjurkan oleh Kerajaan Negeri Melaka dengan kerjasama Bernama sempena Tahun Melawat Melaka 2024. 

Govind Nair juga berkata Melaka Explorace 2024 juga bakal menjadi pembuka mata para peserta yang pertama kali ke negeri itu dan secara tidak langsung, menambah pengetahuan mereka mengenai negeri berkenaan. 

Beliau berkata pemenang kategori Terbuka akan membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000 manakala kategori Media dan Agensi Kerajaan Negeri Melaka/Bernama masing-masing menerima RM5,000.

Selain itu, peserta Melaka Explorace berpeluang memenangi empat motosikal dan pelbagai hadiah menarik melalui cabutan bertuah. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan