WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Zainal Abas Baik Pulih Jersi, Bantu Peminat Bola Sepak Simpan Kenangan

03/10/2024 09:30 AM


From Muhammad Basir Roslan

Tidak pernah menduga akan menubuhkan perniagaan sendiri daripada usaha yang bermula sebagai hobi, pereka grafik Zainal Abas kini menikmati laba sebagai antara segelintir "pembaik pulih” jersi pasukan bola sepak.

Beroperasi dari rumah dengan modal permulaan sekitar RM5,000 dan hanya dilakukan secara sambilan, pemilik syarikat Prokit Services Enterprise ini mampu meraih keuntungan purata RM4,000 sebulan dan pernah mencecah RM10,000 ketika musim kejohanan besar seperti Piala Dunia.

“Kisahnya bermula apabila saya lihat jersi-jersi yang saya kumpul sejak 2010 mula pudar dan rosak. Satu daripadanya ialah jersi pasukan kegemaran saya, Liverpool FC dan merupakan jersi pertama pasukan itu yang saya miliki. 

pic-2

“Disebabkan oleh banyak kenangan saya bersama-sama jersi ini yang saya beli pada 2010, saya cari kaedah untuk baiki dan pulihara jersi berkenaan. Pada 2013, saya mulakan projek baik pulih itu selepas memperoleh semua barangan dan peralatan yang diperlukan,” kongsinya ketika ditemui Bernama di kediamannya, di sini baru-baru ini. 

Ulas lelaki berusia 43 tahun itu, kejayaannya membaiki jersi tersebut disusuli “projek memulihara” koleksi sedia ada beliau, yang kemudiannya dikongsikan di media sosial.

 

RAMAI YANG MENCARI

Menurut Zainal, perkongsiannya itu menarik perhatian banyak pihak yang sebenarnya sedang mencari pembaik pulih jersi. 

“Pada peringkat awal saya hanya bekerja secara komisyen, iaitu ada pihak lain mengupah saya untuk membaiki dan membaik pulih jersi yang dihantar kepada mereka.

pic-3

“Namun, pada 2020 saya kehilangan kerja tetap, dan ini yang mendorong saya untuk membuka syarikat sendiri,” katanya yang kini turut bekerja secara tetap di sebuah syarikat penerbangan tanah air. 

Berkongsi tentang proses pembaikan jersi, beliau berkata proses pertama ialah mencuci dan menanggalkan gam pada fabrik.

“Proses ini bukan mudah kerana kita tidak mahu merosakkan fabrik. Setelah itu, saya akan memeriksa corak, logo dan jenis huruf yang digunakan. 

“Untuk memastikan jenis huruf itu tepat atau sama dengan yang asal, saya manfaatkan perisian komputer. Selepas itu barulah dicetak. Kesemua proses ini memerlukan ketelitian, kerana jika jersi rosak sukar untuk dibaiki,” jelasnya.

Sekalipun tugas itu renyah, Zainal berkata beliau hanya mengenakan caj permulaan RM10 hingga RM15 untuk proses mencuci, sementara kerja pembaikan huruf pula dikenakan harga RM20 ke RM45. 

"Ramai yang bertanya 'tidak penat ke mencuci dan membersihkan jersi ini untuk serendah RM10?’ Bagi saya ini adalah kerja yang dilakukan dengan penuh kasih sayang (kerana memahami perasaan pemilik terhadap jersi itu),” tambah beliau.

Malah katanya, jika membabitkan pembaikan jersi vintaj, masa yang lebih lama diperlukan - kadangkala hingga sebulan - kerana beliau perlu lebih berhati-hati agar tidak merosakkan fabrik jersi berkenaan. 

“Setiap bulan, secara purata saya terima kira-kira 100 helai jersi untuk dibaiki, dan bagi memenuhi permintaan pelanggan, ada waktunya saya perlu bangun seawal 4 pagi. Namun saya tidak kisah, kerana saya faham perasaan pemiliknya,” tambah beliau.

Ditanya bahagian jersi yang sering mengalami kerosakan, beliau berkata lazimnya melibatkan huruf, mungkin disebabkan oleh faktor cuaca panas di negara ini.  

Bercerita tentang perancangan masa depan, bapa kepada tiga anak ini berkata beliau berhasrat mengembangkan perniagaannya selepas kedudukan syarikat stabil dan kukuh.

“Sekarang ini saya yang uruskan semua, iaitu one-man show. Saya juga tidak risau persaingan kerana tidak ramai yang menawarkan perkhidmatan ini. Malah, saya juga ada pelanggan tetap,” katanya.

Beliau bagaimanapun mengakui turut pernah ditipu oleh pelanggan yang tidak datang mengambil kembali jersi dihantar mereka, selepas jersi itu siap dibaik pulih. 

 

KOLEKSI BERHARGA

Zainal yang juga peminat pasukan Jerman dan Harimau Malaya, berkata  beliau memiliki ratusan helai jersi pelbagai pasukan merangkumi negeri, negara dan kelab dari seluruh dunia, termasuk koleksi jersi pasukan Jerman sejak 1986.

Malah, beliau turut memiliki jersi vintaj pasukan Liga Malaysia, iaitu Perak yang juga negeri kelahirannya.

pic-4

“Saya ada jersi yang ditandatangani pemain legenda negara Karim Pin dan Khalid Jamlus, selain jersi Liverpool yang ada tandatangan (bekas pemain) Steve McManaman, Robbie Fowler, Mark Wright dan Jason McAteer,” katanya.

Ditanya tentang nilai koleksi yang dimilikinya itu, Zainal berkata jika dijual, sehelai jersi boleh mencecah ribuan ringgit namun bergantung pada pemasaan dan juga platform urus niaga yang digunakan. 

"Jika pandai menjual di platform yang tepat, nilainya memang tinggi. Misalnya, kalau diiklankan dalam talian di Malaysia, mungkin sekitar RM300 ke RM500 sahaja, tetapi kalau guna platform antarabangsa seperti eBay, boleh mencecah RM800 ke RM1,500. 

pic-5

“Nilai jersi juga melonjak berkali ganda jika pemain yang berkenaan meninggal dunia. Contohnya semasa Diego Maradona meninggal dunia dulu, ramai yang mencari jersi dengan nombor yang beliau pakai. Malah, pernah juga pada satu acara lelong, jersi Pele dilaporkan terjual pada harga 30,000 Euro (RM138,000),” kongsinya lagi.

Menurutnya, pengalaman mengunjungi isteri yang menyambung pengajian peringkat doktor falsafah di Jerman pada 2013, memberikannya pengalaman berharga kerana dapat menyaksikan budaya bola sepak Eropah, khususnya liga Jerman Bundesliga.

“Walaupun hanya tinggal sebulan di sana, saya berpeluang menonton beberapa perlawanan menarik Bundesliga, antaranya Borussia menentang FC Nurnburg dan FC Schalke melawan Hannover,” katanya, menambah beliau tidak pernah ketinggalan membeli jersi pasukan yang bermain, setiap kali menonton perlawanan di stadium. 

“Setiap jersi yang saya miliki ini mempunyai cerita tentang pengalaman saya. Bagi saya, jersi ini bukan sekadar kain tetapi memori yang tidak ternilai,” ujarnya.


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan