WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Lawatan Anwar Ke Pakistan Dan Bangladesh Perkukuh Hubungan Malaysia Dengan Asia Selatan

05/10/2024 11:33 AM

Oleh Shakir Husain

NEW DELHI, 5 Okt (Bernama) -- Lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Pakistan dan Bangladesh minggu ini menambah dinamik baharu kepada hubungan penting yang memperkukuh perdagangan dan hubungan luar Malaysia.

Di Islamabad, Anwar dan rombongannya disambut mesra, dengan kerajaan Pakistan memastikan kepentingan lawatan itu dapat disampaikan sepenuhnya.

Perdana Menteri disambut oleh rakan sejawatnya Shehbaz Sharif di Pangkalan Udara Nur Khan di luar Islamabad sebaik tiba pada Rabu dan turut hadir ketika Anwar berlepas ke Bangladesh pada Jumaat, selepas lawatan rasmi selama tiga hari.

Perdagangan dan perniagaan merupakan elemen penting, namun hubungan Malaysia-Pakistan menjurus kepada pelbagai aspek dan disokong oleh kepentingan bersama, hubungan sejarah dan nilai-nilai sejagat.

Sebagai Rakan Dialog Sektoral Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN), Pakistan berusaha untuk memperkukuh keterlibatannya dengan Asia Tenggara, dan Malaysia berada di tengah-tengah usaha ini.

Kepentingan lawatan Anwar ke Pakistan jelas terbukti apabila beliau dihargai atas sokongannya terhadap isu-isu Islam, kemanusiaan, keadilan sosial, keharmonian antara agama, dan usaha memerangi Islamofobia, apabila Presiden Asif Ali Zardari menganugerahkan Anwar penghormatan tertinggi negara, Nishan-e-Pakistan.

Majlis penganugerahan itu dihadiri Shehbaz, menteri persekutuan, ketua-ketua perkhidmatan ketenteraan, diplomat, dan pegawai kanan kerajaan.

Pada sidang media bersama oleh Anwar dan Shehbaz, diumumkan bahawa Pakistan akan menterjemahkan buku Anwar bertajuk "SCRIPT for a Better Malaysia: An Empowering Vision and Policy Framework for Action" ke dalam bahasa Urdu.

Akronim SCRIPT mewakili kelestarian, keprihatinan dan belas kasihan, penghormatan, inovasi, kemakmuran, dan kepercayaan.

Sementara itu, tiga karya terjemahan penyair, ahli falsafah, dan pemikir terkenal Allama Muhammad Iqbal (1877-1938) kini boleh didapati dalam bahasa Melayu.

Iqbal banyak menulis dalam bahasa Urdu dan Parsi mengenai isu-isu seperti Islam, hubungan Timur-Barat, penjajahan dan politik.

"Pemikiran Iqbal selari dengan falsafah kenegaraan Malaysia, yang kami namakan MADANI. Pada dasarnya, ia adalah komitmen mendalam terhadap maruah manusia, keadilan sosial, dan saling menghormati -- prinsip-prinsip yang selaras dengan ideal falsafah Allama Iqbal," kata Anwar dalam ucapan di Universiti Sains dan Teknologi Kebangsaan (NUST) di mana beliau dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah pada Khamis.

 

Perdagangan, Pertanian, Pertahanan dan Pendidikan

 

Malaysia dan Pakistan membincangkan pelbagai topik termasuk pelaburan, perdagangan komoditi pertanian, kerjasama pertahanan dan keselamatan, pemprosesan makanan dan hubungan dalam sektor halal.

Mereka turut membincangkan usaha mempertingkatkan hubungan udara, pertukaran pelajar dan pelancongan.

Shehbaz, dalam sidang media bersama menyebut bahawa matlamat segera Pakistan adalah meningkatkan eksport daging ke Malaysia kepada US$200 juta setahun dan mengeksport 100,000 tan beras basmati.

Perdagangan dua hala pada 2023 adalah sebanyak RM7.84 bilion (US$1.4 bilion), angka yang dianggap rendah memandangkan potensi besar yang belum diteroka untuk penglibatan ekonomi.

Anwar berkata, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) akan membuka pejabatnya di Karachi, bandar terbesar Pakistan dan hab perkapalan dan komersial pada bulan depan.

Terdapat minat yang semakin meningkat dalam kalangan pelajar Pakistan untuk belajar di Malaysia dan Pakistan juga ingin menarik belia Malaysia ke universiti mereka.

Anwar juga mengadakan pertemuan dengan ketua tentera Pakistan, Jeneral Syed Asim Munir.

Mereka membincangkan kepentingan strategik dua hala, keselamatan serantau, dan kerjasama pertahanan, menurut media negara Pakistan.

Kedudukan Pakistan yang dekat dengan Asia Barat dan Asia Tengah menjadikannya pemain utama dalam hal ehwal geopolitik.

Lokasinya juga memberikan keupayaan untuk mempengaruhi laluan tenaga dan perdagangan serantau.

 

Bangladesh Mahu Bantuan Malaysia untuk Sertai ASEAN

 

Anwar dan delegasinya berlepas dari Pakistan ke Bangladesh. Walaupun hanya lawatan sehari, misi itu meliputi pelbagai isu penting.

Perdana Menteri Malaysia dan Penasihat Ketua Kerajaan sementara Bangladesh, Muhammad Yunus mempunyai hubungan baik kerana mereka saling mengenali sejak sekian lama.

Dengan Malaysia akan memegang jawatan selaku Pengerusi ASEAN pada 2025, Yunus memohon bantuan Malaysia untuk Bangladesh menjadi rakan dialog sektoral kumpulan serantau itu.

Yunus juga menarik perhatian Anwar terhadap pelbagai cabaran yang dihadapi Bangladesh dalam menampung 1.2 juta pelarian Rohingya, dengan menyatakan bahawa penyelesaian terhadap krisis Rohingya perlu dicari agar mereka dapat kembali ke rumah mereka di Myanmar.

"Kami akan terus mengangkat isu ini. Malaysia akan menyokong kami. Kami tidak boleh menunggu selama-lamanya," kata Yunus seperti yang dilaporkan oleh media Bangladesh.

Beliau menggesa masyarakat antarabangsa untuk tidak mengabaikan krisis Rohingya kerana ia merupakan "bom jangka" yang perlu diberi perhatian segera.

Anwar memberitahu Yunus bahawa Malaysia akan meneliti isu untuk membenarkan kemasukan 18,000 warga Bangladesh yang sebelum ini mendapat visa kerja tetapi tidak dapat memasuki negara sebelum tarikh akhir Mei, lapor Bangladesh Sangbad Sangstha.

Kerjasama dalam bidang seperti kecerdasan buatan, kewangan, kesihatan, pendidikan tinggi, pertanian, tenaga, pertahanan dan sektor halal turut dibincangkan.

Kedua-dua pemimpin bersetuju untuk mengadakan pusingan seterusnya rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) tidak lama lagi, menurut laporan itu.

Anwar menjadi ketua kerajaan pertama yang melawat negara itu sejak kerajaan sementara ditubuhkan pada Ogos.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan