WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Ekonomi Vietnam Stabil Selepas Bencana Taufan Namun Halangan Asas Masih Wujud - EuroCham

09/10/2024 04:08 PM

Oleh P. Vijian

PHNOM PENH, 9 Okt (Bernama) -- Dewan Perniagaan Eropah di Vietnam (EuroCham) melahirkan keyakinan terhadap daya tahan ekonomi negara itu selepas kerosakan yang dialami akibat Taufan Yagi. 

Namun, EuroCham turut menekankan halangan sedia ada yang boleh menjejaskan perniagaan di Vietnam.

Tinjauan EuroCham yang dijalankan selepas taufan itu mendedahkan bahawa hampir 47.4 peratus responden optimis tentang prospek syarikat mereka dan menjangkakan peningkatan pada suku akan datang.

Selain itu, keyakinan jangka panjang syarikat Eropah kekal tinggi, dengan 69.3 peratus menjangkakan iklim perniagaan yang menggalakkan dalam tempoh lima tahun akan datang.

"Walaupun tekanan ekonomi baru-baru ini disebabkan oleh Taufan Yagi, daya tahan dan kebolehsesuaian kedua-dua ekonomi Vietnam serta perniagaan Eropah yang beroperasi di sini terbukti dalam tinjauan terbaru ini.

"Keputusan ini bukan sekadar angka, tetapi menceritakan tentang peranan Vietnam yang semakin berkembang sebagai hab perniagaan strategik," kata Pengerusi EuroCham Vietnam, Bruno Jaspaert.

Taufan yang melanda Vietnam, Myanmar dan Laos bulan lepas telah memusnahkan infrastruktur utama — menara elektrik dan telekomunikasi serta merosakkan tanah ladang, harta benda dan menjejaskan kehidupan, terutamanya komuniti pertanian.

Vietnam menganggarkan kerugian awal sebanyak kira-kira RM7 bilion (US$1.63 bilion).

Selepas huru-hara yang disebabkan oleh Taufan Yagi di utara Vietnam, kerajaan meramalkan penyusutan 0.15 peratus dalam KDNK bagi 2024. Pertumbuhan KDNK pada suku ketiga dianggarkan pada 7.4 peratus.

Bagaimanapun, tinjauan itu juga menekankan beberapa cabaran asas yang boleh menjejaskan operasi perniagaan. Ini termasuk prosedur visa yang rumit untuk pekerja asing dan pekerja mereka, kos tambang penerbangan yang semakin meningkat, serta prosedur cukai yang tidak telus yang semuanya boleh membebankan syarikat yang beroperasi di Vietnam.

"Halangan operasi yang ketara menjejaskan kecekapan perniagaan semuanya tertumpu pada halangan birokrasi, proses pentadbiran yang tidak konsisten dan berulang, serta peraturan dan undang-undang yang tidak jelas.

"Pada masa yang sama, perniagaan menghadapi kekurangan kecekapan dan cabaran infrastruktur yang tidak berkualiti," kata tinjauan EuroCham.

Lebih 1,400 pemimpin perniagaan EuroCham mengambil bahagian dalam tinjauan suku tahunan itu, menurut kenyataan medianya bertarikh 8 Oktober.

Menurut ASEAN Briefing, Kesatuan Eropah kekal sebagai sumber pelaburan langsung asing keenam terbesar di Vietnam.

Anggota EU telah melabur lebih RM130 bilion (US$30.6 bilion) dalam 2,450 projek di seluruh Asia Tenggara, dengan tumpuan terutamanya pada pelaburan berkualiti tinggi dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan berteknologi tinggi.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan