WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Lim San Shien Dilantik Duta Sejahtera Johor Bahru

11/10/2024 10:05 PM

JOHOR BAHRU, 11 Okt (Bernama) -- Duta Perpaduan Johor Lim San Shien dilantik sebagai Duta Sejahtera Johor Bahru (JB) yang berperanan sebagai peneraju barisan hadapan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) bagi menyemarakkan aktiviti kesukarelawanan dalam kalangan warga Johor Bahru.

MBJB dalam kenyataan hari ini memberitahu pelantikan pemimpin belia dan graduan undang-undang Universiti Malaya (UM) itu dilakukan oleh Datuk Bandar MBJB Datuk Mohd Noorazam Datuk Osman selepas Mesyuarat Penuh MBJB Bilangan 9 Tahun 2024.

Kenyataan itu memberitahu Duta Sejahtera Johor Bahru berkenaan turut berperanan memimpin aktiviti kemasyarakatan, sosial dan komuniti serta sebagai memudah cara inisiatif dan pelaksanaan program berimpak anjuran MBJB.

“Antara program utama MBJB yang akan disertai duta berkenaan termasuk JB City Neon Recreational Night, JB Car Free Morning, program pembersihan sungai, aktiviti Johor Bersih, program kelestarian alam sekitar dan program gerak mesra bersama komuniti dalam zon MBJB,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Lim yang juga Ikon Siswa Kepimpinan Kerajaan Johor berkata beliau berhasrat untuk merealisasikan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 2030 dengan fokus Matlamat ke-11 iaitu Bandar dan Masyarakat Mampan serta Matlamat ke-17 iaitu Kerjasama Demi Matlamat Pembangunan Mampan.

Lim berkata selain SDG, keutamaan beliau juga tertumpu kepada Local Agenda 21 (LA21) yang merupakan satu inisiatif dunia menekankan penglibatan tiga pihak iaitu pihak berkuasa tempatan (PBT), masyarakat dan sektor swasta yang bekerjasama menguruskan kawasan persekitaran ke arah pembangunan mampan.

“Kini saya dilantik oleh Datuk Bandar MBJB sebagai Duta Sejahtera, saya akan memfokuskan seluruh tenaga, komitmen dan ketekadan dengan memaparkan keazaman dan kesungguhan yang luar biasa untuk menunaikan tanggungjawab dalam meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat dan memajukan pembangunan bandar raya dengan sedaya upaya.

“Saya juga berkeinginan mengaplikasikan pendekatan keseluruhan kerajaan untuk berkenalan dan bekerjasama dengan pelbagai kementerian, agensi, jabatan, persatuan dan organisasi dalam penganjuran program rakyat serta penggabungan sinergi demi kemaslahatan negara.

“Saya seorang yang kuat kerja, ada nawaitu yang baik iaitu berkhidmat dengan seikhlas hati dan ingin buat kerja, anjurkan program yang betul-betul berimpak dan bermanfaat supaya bandar raya JB dan masyarakat betul-betul sejahtera dan makmur,” katanya.

Lim berkata dengan menggalas gelaran Duta Sejahtera Johor Bahru, beliau berazam untuk membina dan membangunkan insan dengan keseluruhan pendekatan kerajaan dan masyarakat agar bandar raya berkenaan dikenali dan dicontohi dunia.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan