WILAYAH - SARAWAK > BERITA

China, ASEAN Ambil Langkah Baharu Bina Komuniti Dengan Masa Depan Bersama

12/10/2024 01:24 AM

VIENTIANE, 11 Okt (Bernama-Xinhua) -- Dengan hampir satu perempat daripada populasi dunia, China dan ASEAN memiliki potensi pasaran yang sangat besar, dengan kelebihan yang ketara untuk pembangunan ekonomi di tengah-tengah pemulihan global yang lembap.

Satu pencapaian baharu dalam kerjasama China-ASEAN dicapai apabila Perdana Menteri China Li Qiang mengumumkan pada Sidang Kemuncak China-ASEAN ke-27 pada Khamis mengenai kesimpulan penting rundingan naik taraf Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN Versi 3.0.

Pengumuman ini dijangka membuka laluan untuk pembangunan bersama pasaran berskala besar, membuka peluang kerjasama dalam bidang ekonomi digital dan pembangunan hijau, serta memacu integrasi ekonomi Asia Timur, lapor agensi berita Xinhua.

Menurut Perdana Menteri China, hubungan China-ASEAN telah berkembang melampaui skop dua hala dengan membawa impak yang meluas kepada Asia dan dunia.

 

MEMPERKUKUH HUBUNGAN

Sejak dilancarkan pada 2021, Kereta Api China-Laos telah menyaksikan pertumbuhan penumpang dan pengangkutan barangan, dengan jumlah penumpang dan kargo meningkat dari tahun ke tahun.

Perjalanan jarak jauh menggunakan Kereta Api China-Laos telah menjadi sebahagian daripada kehidupan harian rakyat Laos.

Semasa banjir besar bulan lepas di wilayah utara Laos, kereta api ini menjadi satu-satunya sistem pengangkutan awam utama yang mampu mencapai kawasan terjejas bencana, memastikan kelancaran lalu lintas dan bantuan tiba tepat pada waktunya.

Penyempurnaan Projek Kereta Api China-Laos telah menjadi salah satu projek penanda aras untuk kerjasama ekonomi antara China dan Asia Tenggara.

Di tempat lain, usaha China turut dilihat dalam membantu negara-negara Selatan Global meningkatkan kesalinghubungan.

Di Indonesia, Kereta Api Laju Jakarta-Bandung telah mengangkut lima juta penumpang dan memberi perkhidmatan kepada 250,000 penumpang dari 157 negara dan wilayah setakat Ogos, menurut laporan Xinhua.

Pelbagai lapangan terbang dan pelabuhan moden di rantau ini telah meningkatkan kapasiti pengangkutan, menyuntik semangat baharu kepada pembangunan ekonomi.

Menurut anggaran Bank Dunia, projek pengangkutan di bawah Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) mampu mengurangkan masa perjalanan di sepanjang koridor ekonomi sebanyak 12 peratus, meningkatkan perdagangan antara 2.7 hingga 9.7 peratus, menaikkan pendapatan sehingga 3.4 peratus, dan mengeluarkan 7.6 juta orang daripada kemiskinan tegar.

 

MEMBINA DAYA TAHAN

Di Thailand, zon perindustrian Rayong Thai-Cina telah menjadi hab penting bagi syarikat pembuatan China yang melabur di Thailand dan rantau Asia Tenggara.

Zon perindustrian ini telah menarik syarikat China untuk terlibat dalam pelbagai sektor termasuk alat ganti automotif dan motosikal, tenaga baharu, peralatan rumah pintar, serta industri mekanikal dan elektronik.

Taman perindustrian ini telah menjana peluang pekerjaan untuk lebih daripada 70,000 orang.

Zhao Bin, Presiden Thai-Chinese Rayong Industrial Realty Development Co., operator zon perindustrian itu berkata taman itu telah menarik beberapa syarikat terkemuka China untuk melabur di Thailand.

Kemasukan ini telah membantu Thailand membina rantaian industri yang lengkap, kata Zhao, sambil menambah bahawa pelaburan daripada syarikat-syarikat China telah memudahkan penyusunan semula rantaian bekalan dan meningkatkan kerjasama industri serantau.

Kawasan perdagangan yang lebih terbuka boleh mempromosikan hasil menang-menang, kata Yong Chanthalangsy, wakil Laos kepada Suruhanjaya Antara Kerajaan ASEAN mengenai Hak Asasi Manusia.

Beliau berkata Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN 3.0 akan memudahkan aliran barangan dan pertukaran perdagangan serta ekonomi antara kedua-dua pihak, menyuntik momentum baharu kepada pembangunan ekonomi mereka.

Hubungan antara China dan ASEAN kekal penting dalam mempengaruhi dinamik ekonomi rantau Asia Pasifik, kata Seun Sam, penganalisis dasar di Royal Academy of Cambodia.

 

MENUJU MASA DEPAN YANG MAMPAN

China ingin bekerjasama dengan ASEAN untuk merebut peluang dalam pusingan baharu revolusi teknologi dan transformasi industri, kata Perdana Menteri China pada Sidang Kemuncak China-ASEAN ke-27, sambil mengetengahkan potensi kerjasama dalam bidang seperti ekonomi digital dan pembangunan hijau.

Dalam seminar baru-baru ini mengenai gaya hidup digital dan pertukaran budaya China-ASEAN yang diadakan di Malaysia, peserta berkata kandungan budaya digital adalah komponen penting dalam memupuk hubungan antara rakyat di China dan rantau ini.

Minggu Industri Sukan Elektronik China-ASEAN yang diadakan baru-baru ini turut menunjukkan bagaimana platform digital menjadi jambatan kepada hubungan antara komuniti.

Zheng Xuefang, Kuasa Usaha Kedutaan China di Malaysia berkata dengan peningkatan transformasi digital dan kemajuan perkongsian strategik komprehensif China-ASEAN, kedua-dua pihak akan bekerjasama dalam ekonomi digital, memberi dorongan kuat untuk mengukuhkan kesalinghubungan serantau.

Dalam pembangunan hijau, China dan ASEAN telah menjalinkan kerjasama yang meluas dan berkesan.

Di Thailand, projek hidro-solar terapung yang dibangunkan bersama oleh China dan Thailand di Empangan Sirindhorn menunjukkan potensinya sebagai platform perintis untuk transformasi tenaga.

Di Malaysia, kerjasama tenaga hijau antara kedua-dua negara dapat dilihat dalam projek kecil kemudahan pencahayaan solar dan stesen tenaga fotovoltan moden berskala besar.

Wirun Phichaiwongphakdee, Pengarah Pusat Penyelidikan Thailand-China BRI berkata hasil dan pengalaman pembangunan China dalam bidang kenderaan elektrik, tenaga bersih, ekonomi digital, dan kecerdasan buatan telah menjadi fokus utama dalam BRI.

China menyediakan lebih banyak pilihan dan momentum pertumbuhan kepada dunia, lapor Phichaiwongphakdee.

-- BERNAMA-XINHUA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan