WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Lebih 4.5 Juta Meriahkan Sambutan HSN Di Seluruh Negara

12/10/2024 11:48 AM

PUTRAJAYA, 12 Okt (Bernama) -- Lebih 4.5 juta rakyat menyertai pelbagai aktiviti sukan dan rekreasi di seluruh negara sempena Hari Sukan Negara (HSN) 2024, kata Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh.

Beliau berkata sambutan HSN yang diperkenalkan pada 2015 bertujuan untuk membudayakan dan merakyatkan sukan dalam kalangan masyarakat menerusi amalan gaya hidup cergas dan aktif ke arah negara bersukan.

“Walaupun HSN disambut sekali setahun sebagai soroton, kita mahu mengalakkan rakyat bersukan setiap masa untuk kekal sihat. Kita ada 103 jenis sukan yang telah diwartakan, jadi setiap lapisan masyarat mempunyai pilihan sukan yang sesuai bagi mereka. 

“Kerajaan telah memberikan pelepasan cukai sehingga RM1,000 pada Belanjawan 2024 untuk peralatan, yuran kejurulatihan dan bayaran fasiliti sukan. Kita mahu rakyat menggunakan peluang ini untuk kekal sihat,” katanya selepas merasmikan Sambutan HSN Peringkat Kebangsaan di sini, hari ini. 

Hannah berkata sambutan HSN peringkat kebangsaan menarik lebih 30,000 penyertaan dalam 64 jenis aktiviti termasuk daripada golongan warga emas, orang kurang upaya dan kanak-kanak. 

HSN di seluruh negara disambut hari ini atau Sabtu kedua Oktober, kecuali di Sarawak yang disambut esok bagi menghormati sambutan ulang tahun kelahiran Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Sementara itu, beliau berharap Kementerian Belia dan Sukan akan menerima peruntukan mencukupi pada Belanjawan 2025 yang bakal dibentangkan Jumaat ini, bukan sahaja untuk sukan elit tetapi juga bagi sukan akar umbi.

“Kita ada banyak sukan komuniti dan pentingkan kebolehcapaian (accessibility) kepada semua rakyat untuk bersukan. Sebab itu kita wujudkan program seperti senamrobik di 43 Program Perumahan Rakyat (PPR) dan Program Kemahiran Latihan Asas Sukan (KLAS) Renang untuk kanak-kanak B40 di kawasan banyak berlaku kes lemas. 

“Kita sedang wujudkan banyak program bagi menyenangkan rakyat bersukan, cuma harapkan bajet yang lebih untuk naik taraf fasiliti sukan sedia ada,” katanya. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan