WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Lawatan Agong Ke Brunei Kukuhkan Hubungan Istimewa Antara Dua Negara - Pesuruhjaya Tinggi

12/10/2024 08:19 PM

Daripada Haslinda Zainal

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Okt (Bernama) -- Lawatan negara Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim ke Brunei selama tiga hari bermula esok memperkukuh lagi hubungan akrab dan istimewa yang sedia terjalin antara dua negara.

Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Brunei Datuk Mohd Aini Atan berkata lawatan negara itu bagi memenuhi persilaan Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah.

Beliau berkata lawatan itu juga secara tidak langsung turut mengukuhkan kerjasama dalam bidang ekonomi, sosial dan politik, selain merangsang sektor pelaburan, pendidikan dan pelancongan dua hala.

“Ia juga merupakan lawatan negara pertama Seri Paduka Baginda ke Brunei selepas ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada 20 Julai lepas,” katanya kepada Bernama bersempena dengan lawatan negara Sultan Ibrahim, di sini hari ini.

Mohd Aini berkata dalam konteks hubungan dua hala, Malaysia dan Brunei sememangnya memiliki hubungan yang sangat akrab serta istimewa yang terserlah apabila Sultan Ibrahim berangkat ke Brunei pada 25 Jun lepas untuk mempersembahkan sendiri kepada Sultan Hassanal Bolkiah warkah persilaan bersempena dengan Istiadat Pertabalan Seri Paduka Baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17.

“Atas dasar keakraban kedua-dua negara, Sultan Brunei berkenan berangkat ke istiadat pertabalan Seri Paduka Baginda walaupun pada minggu berkenaan Brunei meraikan Hari Keputeraan Sultan Brunei yang ke-78 pada 15 Julai,” katanya.

Dari segi ekonomi, Mohd Aini berkata Brunei merupakan rakan dagang ke-30 terbesar Malaysia dan rakan dagang keenam terbesar dalam kalangan negara anggota ASEAN dengan jumlah dagangan berjumlah RM9.31 bilion pada 2023.

“Bagi tempoh Januari hingga Julai tahun ini, jumlah dagangan antara kedua-dua negara mencecah RM5.48 bilion, menunjukkan perdagangan kedua-dua negara kekal berdaya tahan dan kukuh,” katanya.

Beliau berkata bagi aspek pelancongan, Malaysia menjadi antara negara pilihan utama rakyat Brunei apabila kedatangan pelancong setakat enam bulan pertama tahun ini mencecah 565,999 orang, melebihi jumlah penduduk Brunei iaitu kira-kira 450,000 orang.

“Pada tahun lepas, bilangan pelancong Brunei ke Malaysia ialah 811,833 orang, jadi kita optimis kunjungan itu akan mencecah satu juta orang tahun ini dan khususnya 2026 bersempena dengan Tahun Melawat Malaysia.

“Ramai yang datang ke Malaysia untuk melancong, membeli-belah, selain mencerminkan promosi yang berjaya dan berkesan oleh Tourism Malaysia di sini,” katanya dan menambah selain Sabah dan Sarawak yang bersempadan dengan Brunei, jumlah ketibaan pengembara negara ini di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) juga tinggi.

Dalam pada itu, beliau berkata kedua-dua negara mungkin boleh membincangkan lebih mendalam mengenai kerjasama dalam bidang pendidikan memandangkan bilangan pelajar Malaysia yang melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi di Brunei tidak ramai.

“Hanya ada lima pelajar Malaysia dalam bidang Sarjana di Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) di sini, namun ramai pelajar Brunei yang menyambung pengajian di Malaysia khususnya di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia,” katanya dan menambah selain pendidikan, kerjasama dalam bidang pelaburan antara dua negara juga boleh ditingkatkan pada masa depan.

Mohd Aini berkata terdapat lebih 25,000 rakyat Malaysia yang menetap di Brunei dan ada antara mereka merupakan pakar dalam bidang masing-masing misalnya perubatan, pensyarah dan industri petroleum.

Lawatan Negara Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah ke Brunei bermula esok hingga 15 Okt, dilihat signifikan dengan ulang tahun ke-40 penubuhan hubungan diplomatik antara kedua-dua negara.

Kunjungan itu juga diyakini akan terus mengukuhkan lagi hubungan erat dan istimewa antara Malaysia dan Brunei yang ditunjangi oleh institusi Kesultanan Melayu, agama, budaya serta ikatan kekeluargaan.

Sultan Ibrahim dan Raja Zarith Sofiah dijadualkan berangkat tiba di Brunei pagi esok dan berkenan untuk menghadiri Majlis Santapan Petang bersama diaspora Malaysia di Brunei yang dianggarkan dihadiri sebanyak 300 orang.

Pada Isnin, program rasmi Seri Paduka Baginda akan dimulakan dengan Majlis Sambutan Negara di Istana Nurul Iman, disusuli dengan Kunjungan Menghadap ke atas Sultan Hassanal Bolkiah dan Raja Isteri Pengiran Anak Saleha.

Seri Paduka Baginda berdua akan diraikan dalam Majlis Santapan Negara di Istana Nurul Iman yang dihoskan oleh Sultan Brunei pada sebelah malam.

Selain itu, Raja Permaisuri Agong juga dijadual berangkat ke UNISSA untuk merasmikan Sudut Buku Malaysia yang bakal mempamerkan penerbitan penyelidikan bersama antara Malaysia dan Brunei.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan