WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Palestin Puji Keputusan Nicaragua Putus Hubungan Diplomatik Dengan Israel

12/10/2024 11:20 PM

RAMALLAH, 12 Okt (Bernama-WAFA) -- Kementerian Luar dan Ekspatriat Palestin memuji keputusan Nicaragua memutuskan semua hubungan diplomatik dengan Israel, lapor Agensi Berita Palestin (WAFA). 

Langkah itu dibuat sebagai tindak balas terhadap genosid berterusan ke atas rakyat Palestin, yang berlanjutan lebih setahun.

Kementerian itu juga memuji kenyataan rasmi Nicaragua, yang menggariskan rasional di sebalik keputusan itu: "Sebagai tanda solidariti dengan rakyat dan kerajaan Palestin serta rakyat di rantau ini yang menderita akibat kekejaman dan kemusnahan, dan dalam mematuhi undang-undang antarabangsa dan perjanjian yang mengawal hubungan bertamadun antara negara, Kerajaan Nicaragua memutuskan semua hubungan diplomatik dengan kerajaan fasis Israel."

Kementerian Luar melihat tindakan Nicaragua ini sebagai tanda tanggungjawab negara itu sebagai anggota komuniti antarabangsa, mengambil langkah nyata untuk menghentikan serangan berterusan ke atas rakyat Palestin dan lain-lain di rantau berkenaan serta menegaskan hak penduduk itu untuk hidup dalam kebebasan, keselamatan, maruah dan keamanan.

Kementerian itu turut berharap bahawa keputusan Nicaragua akan menginspirasi tindakan serupa dari kerajaan lain yang bersahabat sebagai bentuk akauntabiliti terhadap tindakan Israel ke atas rakyat Palestin.

Ia menyerlahkan keperluan kritikal untuk menangani pengelakan akauntabiliti berterusan Israel, yang telah membenarkan konflik ini meningkat ke tahap yang belum pernah terjadi sebelumnya.

-- BERNAMA-WAFA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan