WILAYAH - SARAWAK > BERITA

MAD Harap Dodgeball Diterima Jadi Sukan Demonstrasi SUKMA 2026

13/10/2024 09:09 PM

KUALA LUMPUR, 13 Okt (Bernama) -- Persatuan Dodgeball Malaysia (MAD) masih berharap sukan itu diterima bagi dipertandingkan pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 biarpun berstatus sukan demonstrasi.

Timbalan Presiden MAD Datuk Dr Ramlan Abdul Aziz berkata ia selepas hasrat untuk melihat sukan berkenaan dimasukkan dalam temasya dwitahunan itu tidak tercapai pada SUKMA 2024 Sarawak Ogos lepas.

“Kebiasaannya sebelum sesuatu sukan dapat peluang dipertandingkan di mana-mana peringkat (seperti Sukan SEA) ia harus diperkenalkan sebagai sukan demonstrasi supaya orang dapat saksikan sukan ini dan kita (MAD) dapat gambaran lebih jelas bagaimana hendak uruskan pertandingannya.

“Kita sedang berusaha untuk mendapatkan perkara ini dengan dicetuskan di peringkat SUKMA (terlebih dahulu) sebab kalau terus harapkan peringkat lebih tinggi akhirnya nanti tidak ada piramid pembangunan yang dapat menyokong secara lebih mampan,” katanya kepada pemberita pada kejohanan ‘Turo Thunder Throw 2024’ di sini hari ini.

‘Turo Thunder Throw’ merupakan kejohanan dodgeball yang buat julung kalinya dianjurkan dengan objektif mempromosikan sukan berkenaan kepada rakyat Malaysia.

Beliau berkata di peringkat negeri juga tidak pernah berhenti mempromosikan sukan itu dalam usaha melihat dodgeball diterima sebagai antara acara pada SUKMA 2026.

Terdahulu kejohanan itu menyaksikan Blitz Steroids menewaskan Aces 5-4 untuk muncul juara.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan