WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Bekas Vokalis One Direction Liam Payne Maut Jatuh Dari Balkoni Hotel Di Argentina

17/10/2024 12:08 PM

BUENOS AIRES, 17 Okt (Reuters) -- Bekas vokalis kumpulan One Direction, Liam Payne, meninggal dunia di sebuah hotel di Buenos Aires, Argentina. Polis tempatan mengesahkan pada Rabu,  penyanyi Britain berusia 31 tahun itu ditemukan meninggal dunia selepas terjatuh dari tingkat tiga balkoni bilik hotelnya, lapor Reuters.

Dalam satu kenyataan, polis mengesahkan mereka dipanggil ke hotel di Palermo dan dimaklumkan mengenai "lelaki agresif yang mungkin berada di bawah pengaruh dadah dan alkohol."

Pekerja kecemasan mengesahkan kematian penyanyi itu yang ditemukan di patio dalaman hotel.

"Hati kami benar-benar hancur dan kami mengharapkan keluarga dan orang tersayangnya diberikan kekuatan," demikian catatan MTV cawangan Amerika Latin di platform media sosial X.

Payne yang pernah meraih kemasyhuran dunia, adalah ahli kumpulan pop One Direction yang telah dibubarkan, bersama Harry Styles, Zayn Malik, Niall Horan dan Louis Tomlinson.

Kumpulan penyanyi lelaki itu bermula selepas menduduki tempat ketiga pertandingan muzik The X Factor versi British pada 2010, tetapi kumpulan itu berpecah pada 2016 apabila ahlinya meneruskan haluan berbeza, termasuk kerjaya solo.

Saluran berita tempatan, Todo Noticias TV menemu bual Hernan Palazzo, seorang pekerja berhampiran hotel di Palermo. Palazzo dilapor berkata "seluruh kejiranan terkejut...ramai anggota polis dan ada peminat yang tiba. Ia sangat menyedihkan.”

Awal bulan ini Payne menghadiri konsert bekas rakan kumpulannya, Niall Horan, di Buenos Aires.

Beliau pernah mendedahkan kepada media mengenai masalah ketagihan dadah yang dihadapinya dan pernah memasuki pusat pemulihan.

Sebelum itu pada Rabu, Payne memuat naik hantaran di Snapchat tentang lawatannya ke Argentina, bercakap tentang pengalamannya menunggang kuda, bermain polo dan tidak sabar untuk pulang ke rumah bertemu dengan anjingnya.

"Hari yang indah di Argentina," katanya menerusi video itu.

-- REUTERS


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan