WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Tiga Nama Didedahkan Portal Berita Tiada Kaitan Dengan Kegiatan Counter Setting-sprm

17/10/2024 04:22 PM

KUALA LUMPUR, 17 Okt (Bernama) -- Tiga nama yang didakwa sebagai dalang utama sindiket counter setting seperti dilaporkan sebuah portal berita tempatan, tidak mempunyai kaitan dengan kegiatan berkenaan.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki berkata pihaknya telah memeriksa kod nama ‘Tok Yah’ atau ‘Tok Ayah’, ‘DK’, dan ‘Adik’ seperti dilaporkan portal berkenaan dan mendapati ia tidak mempunyai kaitan dengan sindiket itu.

“Saya tidak pernah dengar nama-nama ini, saya sudah minta pegawai saya periksa nama ini dan pagi ini saya diberitahu kod nama tiga-tiga ini tiada kena mengena dengan counter setting,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Meja Bulat Ketua Pesuruhjaya SPRM bersama Bank-Bank Komersial di sebuah hotel di sini hari ini.

Portal berkenaan dalam laporan bertarikh 16 Okt diterbitkannya antara lain mendakwa ‘Ikan Besar’ sindiket berkenaan masih bebas, walaupun SPRM telah menjalankan operasi besar-besaran bagi melumpuhkan kegiatan berkenaan baru-baru ini.

Semalam ketika membahaskan isu sama di Dewan Rakyat, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memohon agar portal berkenaan menyerahkan nama individu yang dikatakan ‘Ikan Besar’ itu kepada pihaknya, untuk diserahkan kepada SPRM bagi tindakan lanjut.

Sebelum ini, Azam dilaporkan berkata seramai 50 penguat kuasa termasuk pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) ditahan, kerana disyaki terlibat dalam kegiatan counter setting.

SPRM sebelum ini membongkar kegiatan sindiket membawa masuk warga asing, termasuk dari Myanmar, Bangladesh, Indonesia, India, Pakistan, dan Nepal, melalui pintu masuk negara tanpa pemeriksaan pihak berkuasa.

Sindiket berkenaan disyaki didalangi beberapa penguat kuasa sebuah agensi yang bertugas di pintu masuk negara, dengan menjadi tali barut bagi melepaskan kumpulan warga asing yang tiba tanpa melalui prosedur ditetapkan, menerusi modus operandi counter setting.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan