WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Program MADANI Rakyat 2024: PDRM Tawar Diskaun 50 Peratus Saman Trafik

18/10/2024 04:39 PM

KOTA KINABALU, 18 Okt (Bernama) -- Polis Diraja Malaysia (PDRM) menawarkan diskaun saman trafik sebanyak 50 peratus sempena Program MADANI Rakyat 2024 Sayangi Sabah yang berlangsung di pekarangan Kompleks Sukan Likas di sini selama tiga hari bermula hari ini.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu ACP Kasim Muda berkata orang ramai yang ingin mendapatkan diskaun itu boleh datang sendiri ke kaunter disediakan PDRM pada program itu.

“Orang ramai boleh datang sendiri untuk periksa dan bayar saman masing-masing dari 9 pagi hingga 4 petang. Ia hanya melibatkan kesalahan tertentu, kesalahan berat mandatori tidak boleh kita beri diskaun tersebut. 

“Saman yang dikenakan di seluruh Malaysia kita boleh bayar di sini, kalau ada saman di Kuala Lumpur boleh bayar di sini. Ini amat memudahkan orang ramai dan jangan lagi ada alasan untuk kita tidak bayar saman,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, tinjauan Bernama ke kaunter PDRM mendapati orang ramai mula membanjiri kaunter itu untuk tidak melepaskan peluang memeriksa dan mendapatkan diskaun saman 50 peratus tersebut.

Peniaga kecil dari Penampang, Nooryati Jusman, 34, berkata dia sudah lama menangguhkan bayaran saman kerana terlalu sibuk dengan perniagaan dan wang yang ada terpaksa digunakan untuk menampung kos sara hidup.

“Bukan saya tidak mahu bayar tetapi dengan segala perbelanjaan harian,memang sukar untuk cari duit lebih. Inisiatif PDRM ini meringankan beban saya dan saya harap lebih ramai akan memanfaatkannya,” katanya yang dapat menjimatkan kira-kira RM300.

Pekerja bengkel di Kota Kinabalu, Steven Lee Kian Hon, 42, berkata program seperti ini seharusnya diadakan lebih kerap terutamanya untuk golongan pekerja bawahan yang sering berdepan dengan saman trafik seperti memandu melebihi had laju.

“Kadang-kadang kita buat salah bukan kerana sengaja tetapi kerana tergesa-gesa pergi kerja atau menghantar anak ke sekolah. Bukan mahu menafikan saya salah tetapi bila ada diskaun ini amat membantu,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan