WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Belanjawan 2025 : CUEPACS Seru Penjawat Awam Tingkat Komitmen Perbaiki Sistem Penyampaian

18/10/2024 10:46 PM

KUALA LUMPUR, 18 Okt (Bernama) -- Penjawat awam diharap memberi komitmen penuh dalam memastikan iltizam kerajaan untuk menambah baik sistem penyampaian perkhidmatan awam kepada rakyat, dapat dilaksanakan dengan berkesan.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Datuk Dr Adnan Mat berkata kerjasama dan koordinasi antara jabatan kerajaan menjadi kunci bagi mencapai matlamat ini.

“Iltizam kerajaan untuk menambah baik sistem penyampaian perkhidmatan awam kepada rakyat selaras pengenalan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA), yang bertujuan meningkatkan kualiti perkhidmatan awam,” katanya dalam kenyataan, mengulas pembentangan Belanjawan 2025 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini. 

Perdana Menteri dalam ucapannya menyeru penjawat awam untuk menerapkan budaya kerja yang baru, untuk menambah baik kecekapan tahap perkhidmatan kepada rakyat.

Adnan berkata usaha kerajaan dalam meningkatkan pendapatan boleh guna penjawat awam selaras dengan peningkatan kos sara hidup, juga langkah yang sangat dihargai.

“Cuepacs turut menghargai komitmen kerajaan untuk meneruskan pemberian Bantuan Khas Kewangan (BKK) berjumlah RM500 kepada semua penjawat awam gred 56 dan ke bawah termasuk lantikan kontrak yang akan disalurkan pada Februari tahun depan,” katanya. 

Adnan berkata bantuan itu pastinya memberi kelegaan kepada penjawat awam terutama dalam menghadapi pembukaan sesi persekolah dan sambutan Ramadan serta Hari Raya Aidilfitri pada tahun hadapan.

“Secara tradisinya kerajaan memperuntukkan BKK setiap tahun kepada penjawat sejak 2013, sebagai tanda terima kasih atas kesungguhan yang tidak berbelah bahagi penjawat awam dalam menyampaikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat. Komitmen Perdana Menteri untuk meneruskan pemberian ini amat hargai,” katanya.

Pada Belanjawan 2025 yang dibentangkan di Parlimen hari ini, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan bersetuju menyalurkan BKK berjumlah RM500 kepada penjawat awam gred 56 dan ke bawah termasuk lantikan kontrak dan RM250 untuk pesara yang akan disalurkan pada Februari 2025.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan