WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Kerajaan Cadang Perluas Skop Cukai Perkhidmatan Perkukuh Kedudukan Fiskal

18/10/2024 11:13 PM

KUALA LUMPUR, 18 Okt (Bernama) -- Kerajaan mencadangkan skop cukai perkhidmatan diperluas merangkumi perkhidmatan baharu, seperti transaksi perkhidmatan komersial antara perniagaan (B2B), berkuat kuasa 1 Mei, 2025. 

Selain itu, kerajaan juga mencadangkan kadar cukai jualan dinaikkan bagi barangan bukan keperluan asas seperti barangan premium yang diimport.

“Namun, cukai jualan kekal tidak dikenakan ke atas barangan makanan asas yang digunakan oleh rakyat,” demikian menurut Kementerian Kewangan (MoF) dalam lampiran yang dikeluarkan seiring dengan pembentangan Belanjawan 2025 hari ini.

Kementerian Kewangan berkata cadangan tersebut adalah usaha kerajaan untuk mengukuhkan kedudukan fiskal.

“Bagi memastikan kelangsungan perniagaan tidak terjejas, kerajaan akan melaksanakan sesi libat urus dengan pihak industri bagi menyediakan langkah imbangan serta memuktamadkan skop dan kadar cukai yang akan ditetapkan,” katanya.

Pada masa ini, cukai jualan dikenakan ke atas barang bercukai yang dikilangkan di Malaysia dan barang yang dimport. 

Di bawah Akta Cukai Jualan 2018, terdapat senarai barangan yang telah dikecualikan cukai jualan (kadar 0 peratus), terutamanya barangan keperluan asas, manakala kadar cukai jualan bagi barangan lain telah ditetapkan pada kadar lima peratus, 10 peratus atau kadar spesifik bergantung kepada jenis barang.

Cukai perkhidmatan dikenakan ke atas perkhidmatan bercukai yang disediakan oleh penyedia perkhidmatan, termasuk perkhidmatan bercukai yang dimport dan perkhidmatan digital seperti yang disenaraikan dalam Peraturan-Peraturan Cukai Perkhidmatan 2018 dan Peraturan-Peraturan Cukai Perkhidmatan (Perkhidmatan Digital) 2019. 

Kadar cukai perkhidmatan yang ditetapkan adalah enam peratus, lapan peratus atau kadar spesifik bergantung kepada jenis perkhidmatan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan