WILAYAH - TIMUR > BERITA

10 Anggota TUDM PU Gong Kedak Hidap Penyakit Kronik Terima Sumbangan MINDEF

20/10/2024 08:41 PM

KUALA TERENGGANU, 20 Okt (Bernama) -- Kementerian Pertahanan (MINDEF) menyampaikan bantuan tunai dan bakul rahmah kepada 10 anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Pangkalan Udara (PU) Gong Kedak, Besut yang menghidap penyakit kronik.

MINDEF menerusi kenyataan memaklumkan bantuan itu, yang turut disampaikan kepada dua anak anggota menghidap penyakit kronik dan cedera dalam kemalangan, disalurkan oleh Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari ketika lawatan kerja beliau ke pangkalan berkenaan hari ini.

“Beliau turut menyampaikan sumbangan pembaikan sistem pembesar suara bagi kemudahan Masjid Ar-Raudhah di PU berkenaan,” menurut kenyataan itu. 

Adly, yang mengadakan lawatan itu bagi mendapatkan gambaran jelas pengoperasian pangkalan TUDM khususnya skuadron pesawat pejuang dan elemen sokongan, turut mendengar taklimat berkaitan rutin operasi melibatkan kawasan PU bagi memastikan keselamatan ruang udara negara.

Menurut MINDEF, lawatan bermula di Hangar Nombor 12 Skuadron sebelum bergerak ke MATRA 3 untuk melihat pengoperasian Sistem Penyimpanan Automatik dan Dapatan Semula (ASRS) oleh TUDM bagi memohon serta memesan alat ganti atau peralatan sistem pesawat.

“Timbalan Menteri juga melawat Bangunan Simulator yang digunakan TUDM untuk melatih juruterbang pesawat Sukhoi menggunakan sistem latihan simulator,” katanya.

Turut serta Panglima Wilayah Udara 1 Mejar Jeneral Datuk Mahadzer Amin.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan