WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PTPTN Jalin Kerjasama Dengan Royale Chulan Anjur Program Pembersihan Pantai

21/10/2024 11:07 AM

KUALA LUMPUR, 21 Okt (Bernama) -- Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) buat julung kalinya menganjurkan Program Pembersihan Pantai di Pantai Cherating, Pahang, semalam bertujuan menerapkan nilai kecintaan terhadap alam sekitar serta meningkatkan kesedaran dalam kalangan peserta dan komuniti tentang pentingnya pemeliharaan alam sekitar.

Ketua Eksekutif PTPTN Ahmad Dasuki Abdul Majid berkata program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) PTPTN itu tidak hanya terhad kepada aktiviti pembersihan pantai, malah meningkatkan kesedaran mengenai tanggungjawab menjaga alam sekitar, selaras dengan pendekatan Environmental, Social and Governance (ESG).

“Program ini yang dianjurkan bersama  Royale Chulan Hotel and Resorts Malaysia menterjemah keprihatinan PTPTN dalam melaksanakan CSR untuk menjaga alam sekitar sekali gus menjadi bukti sokongan PTPTN dalam menyahut seruan kerajaan bagi mengekalkan alam semulajadi.

“Inilah sebahagian CSR PTPTN dalam memastikan kesejahteraan masyarakat selain menunaikan amanahnya dalam menyediakan pinjaman pendidikan, pengurusan bayaran balik pinjaman serta pembudayaan penabungan,” katanya dalam kenyataan.

Program tersebut disempurnakan oleh Pengerusi PTPTN Datuk Seri Norliza Abdul Rahim, dan dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulai Sebatang Hasrunizah Hassan, serta Pengurus Besar Royale Chulan Hotels & Resorts Malaysia Abdul Rahman Ahmad.

Hadir sama Pengurus Besar Kanan, Jabatan Komunikasi Korporat dan Pemasaran PTPTN Wan Zawiah Wan Abu Bakar, serta Pengarah Negeri, Pejabat PTPTN Negeri Pahang Sapiza Ajuhari.

Program tersebut melibatkan penyertaan 150 peserta, terdiri daripada pelajar Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UNIPSAS) dan Politeknik Sultan Ahmad Shah (POLISAS), wakil Pertubuhan Hal Ehwal Wanita dan Keluarga Malaysia (HAWA), Majlis Bandaraya Kuantan, pegawai-pegawai PTPTN dari Ibu Pejabat dan Negeri Pahang, serta rakan media.

PTPTN berharap program seumpama ini dapat mengukuhkan hubungan strategik dengan agensi-agensi terlibat serta meningkatkan imej positif PTPTN dalam kalangan masyarakat, selaras dengan moto 'Peluang Kejayaan Anda' dan tagline CSR 'PTPTN Prihatin: Kami Kongsi, Kami Bantu'.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan