WILAYAH - SARAWAK > BERITA

LIAM Sokong Program Rakan Kkm, Pastikan Akses Penjagaan Kesihatan Awam Berkualiti

25/10/2024 05:45 PM

KUALA LUMPUR, 25 Okt  (Bernama) -- Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM) menyokong penuh pengumuman mengenai inisiatif Rakan KKM (Kementerian Kesihatan) oleh kerajaan baru-baru ini yang akan dapat membuka akses kepada perkhidmatan penjagaan kesihatan berkualiti dan pada kadar berpatutan. 

Ketua Pegawai Eksekutifnya Mark O'Dell menyifatkan program itu sebagai langkah positif ke arah penjagaan kesihatan yang lebih baik kepada seluruh rakyat Malaysial, selain meningkatkan kesedaran awam dan membantu orang ramai membuat pilihan terbaik mengenai  kesihatan serta keperluan insurans mereka. 

O'Dell berkata LIAM mengalu-alukan perbincangan berterusan KKM dengan syarikat insurans swasta untuk memasukkan perkhidmatan Rakan KKM dalam polisi mereka, yang beliau anggap dapat membuka peluang baharu kepada industri insurans hayat berkerjaasama dengan kerajaan serta penyedia perkhidmatan kesihatan lain.

“Syarikat insurans boleh membantu kempen kesihatan Rakan KKM melalui program komuniti dan  menawarkan produk yang selaras dengan usaha kesihatan awam sekali gus dapat meningkatkan permintaan bagi produk insurans berkaitan kesihatan.

“LIAM sedia untuk mengetahui lebih terperinci mengenai Rakan KKM ini daripada pihak KKM dan komited dalam menyumbang kepada kejayaan program berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Pada 18 Okt lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat mengumumkan inisiatif Rakan KKM yang melibatkan kerjasama syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) bagi menyediakan pilihan perkhidmatan kesihatan berbayar pada kadar berpatutan kepada pesakit. 

Inisiatif itu diwujudkan dengan matlamat untuk membawa sistem kesihatan awam ke tahap lebih tinggi dan menangani peningkatan kos kesihatan, serta memastikan sistem perkhidmatan kesihatan awam lebih berdaya tahan, mampan dan mandiri. 

-- BERNAMA 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan