WILAYAH - SARAWAK > BERITA

MCMC Tekankan Kepentingan Keterhubungan Di MIH Megatrends 2024, Pakar Minta Diadakan EMR Kebangsaan

28/10/2024 07:37 PM

KUALA LUMPUR, 28 Okt (Bernama) -- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) menekankan kepentingan kesalinghubungan pada Persidangan Kesihatan Antarabangsa Malaysia (MIH) Megatrends 2024, dengan profesional penjagaan kesihatan meminta supaya diadakan sistem Rekod Perubatan Elektronik Kebangsaan (EMR) bagi meningkatkan penjagaan pesakit dan keselamatan data.

Bendahari Kehormat Bahagian Pengamal Perubatan Swasta (PPS) Persatuan Perubatan Malaysia Dr Gokilavani Sekar Chandran, menekankan kepentingan mengintegrasikan teknologi pintar ke dalam penjagaan kesihatan untuk memupuk penjagaan berpusatkan pesakit.

“Perbincangan itu menekankan bagaimana penggunaan teknologi pintar dalam penjagaan kesihatan swasta yang terdiri daripada hospital swasta ke klinik perubatan am dan farmasi adalah penting untuk meningkatkan pengalaman pesakit dan kualiti penjagaan,” katanya semasa sesi Pocket Talk di Pavilion MCMC, baru-baru ini.

Pocket Talk yang diadakan bersempena MIH Megatrends 2024 itu bertajuk ‘Pasaran Penjagaan Kesihatan Swasta Pintar Global: Pemain Utama, Pelaburan Strategik dan Ramalan Pertumbuhan’ dengan sesi panel dikendalikan Presiden Persatuan Hospital Swasta Datuk Dr Kuljit, bersama pelbagai pakar daripada industri penjagaan kesihatan.

Gokilavani juga berharap agar sistem EMR Kebangsaan diadakan bagi membolehkan akses lancar kepada sejarah perubatan.

“Visi kami ialah melaksanakan satu EMR Kebangsaan tidak lama lagi, mewujudkan jejak digital yang selamat untuk setiap pesakit. Ini akan meningkatkan kesinambungan penjagaan dan memastikan hasil kesihatan yang lebih baik,” katanya.

Sementara itu, seorang peserta Pocket Talk Pragase Komargan membawakan kebimbangan keselamatan siber kritikal yang berkaitan dengan transformasi digital dalam penjagaan kesihatan.

Beliau menegaskan bahawa apabila sektor itu beralih ke arah penyelesaian teknologi termaju, mengutamakan keselamatan siber adalah penting untuk melindungi data sensitif dan mengekalkan kepercayaan.

“Kerajaan sedang mengorak langkah besar ke arah sistem 'satu pesakit, satu rekod perubatan', yang akan memberi manfaat besar kepada profesional penjagaan kesihatan dan pesakit, dengan memperkemas proses, menjimatkan masa dan mengurangkan kos.

“Penjagaan kesihatan mengandungi maklumat peribadi yang penting, dan kami tidak boleh mengabaikan keselamatan yang diperlukan untuk melindungi data ini,” katanya.

Seorang lagi peserta Nisha Parveen Kaur, mengulangi kebimbangan mengenai keselamatan data semasa peralihan kepada penyelesaian awan.

“Saya rasa apa yang mereka ketengahkan dalam sesi itu ialah kebimbangan keselamatan data. Pihak berkepentingan mesti memberi tumpuan bukan sahaja pada keselamatan semasa persediaan awal, tetapi juga semasa naik taraf sistem untuk memastikan keseluruhan ekosistem kekal selamat dari hujung ke hujung,” katanya.

Sebelum ini Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad menekankan bahawa peranan MCMC sebagai Rakan Penjagaan Kesihatan Masa Depan untuk MIH Megatrends 2024 adalah penting, dalam meningkatkan standard persidangan mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju dalam inovasi penjagaan kesihatan.

Penyertaan MCMC dalam acara itu, yang diadakan dari 25 hingga 27 Okt juga menyerlahkan aspek kritikal keterhubungan dalam sektor penjagaan kesihatan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan