WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Kementerian Luar Ambil Maklum Laporan MyKad, Lesen Memandu Malaysia Ditemui Di Ukraine

29/10/2024 09:00 PM

KUALA LUMPUR, 29 Okt (Bernama) -- Kementerian Luar hari ini mengambil maklum mengenai satu laporan yang menyatakan MyKad dan lesen memandu Malaysia telah dijumpai di Levadne, Zaporizhia, Ukraine.

Dalam satu kenyataan, Kementerian Luar yang juga dikenali sebagai Wisma Putra berkata buat masa ini, pihaknya tidak dapat mengesahkan kesahihan maklumat itu.

“Maklumat itu juga telah dipanjangkan kepada pihak berkuasa yang berkaitan untuk pengesahan.

“Kami dengan hormatnya memohon pihak media dan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi,” menurut kenyataan itu.

Kementerian Luar juga menyarankan rakyat Malaysia untuk mengambil langkah berjaga-jaga dan memastikan keselamatan diri sendiri ketika di luar negara.

“Keselamatan rakyat Malaysia di luar negara adalah tanggungjawab individu masing-masing.

“Walaupun Pejabat Perwakilan Malaysia sentiasa bersedia untuk memberikan bantuan konsular kepada rakyat Malaysia yang memerlukan, adalah penting bagi semua rakyat Malaysia untuk mengambil langkah berjaga-jaga dan memastikan keselamatan diri sendiri,” menurut kenyataan itu.

Sebelum ini, tular sekeping gambar yang menunjukkan dokumen pengenalan diri MyKad dan lesen memandu rakyat Malaysia didakwa ditemui di medan pertempuran antara Ukraine dan Rusia. Laporan itu mendakwa dokumen itu ditemui selepas kejayaan tentera Rusia menawan kubu tentera Ukraine di Levadne, Zaporizhia, Ukraine.

--BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan