WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Manfaatkan UKAS Untuk Salur Pandangan Program, Dasar Kerajaan Sarawak

31/10/2024 06:55 PM

KUCHING, 31 Okt (Bernama) -- Rakyat boleh menyalurkan maklum balas mereka terhadap mana-mana program atau dasar kerajaan menerusi Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), kata Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) Datuk Abdullah Saidol.

Beliau berkata peranan UKAS bukan hanya menyampaikan hasrat kerajaan, tetapi juga mengumpulkan maklum balas daripada rakyat.

“Penyaluran maklumat yang cepat dan tepat adalah isu yang perlu dilaksanakan dengan berkesan oleh UKAS bagi mengurangkan jurang pemahaman antara kerajaan Sarawak dan rakyat,” katanya ketika berucap pada Majlis Penangguhan Jelajah Penerangan dan Penjelasan Isu-Isu Semasa di sini hari ini

Abdullah berkata kerajaan Sarawak sentiasa mahukan masyarakat memberi maklum balas konstruktif terhadap program atau dasar yang hendak dilaksanakan.

“Mungkin di peringkat Kabinet, di peringkat menteri dan timbalan menteri (program atau dasar) nampak cantik tetapi kita tidak tahu apa pandangan masyarakat (berkaitan program atau dasar berkenaan),” katanya.

Abdullah berkata orang ramai juga boleh menyalurkan pandangan terhadap prestasi wakil rakyat masing-masing bagi membantu kepimpinan negeri menilai keberkesanan wakil rakyat terbabit.

Beliau berkata hal itu selaras dengan langkah kerajaan negeri untuk mewujudkan kad laporan prestasi bagi setiap wakil rakyat yang mewakili kerajaan sebagai usaha memastikan perkhidmatan mereka menepati keperluan rakyat.

“Tidak perlu risau dengan tahap kerahsiaan maklumat yang disalurkan kerana setiap pegawai UKAS yang diamanahkan sentiasa dipastikan untuk menjalankan tugas dengan penuh integriti tanpa mengira fahaman politik. 

“Yang penting ialah masyarakat tahu apa yang dilakukan oleh kerajaan dan biarlah mereka menilai sendiri kesungguhan dan keikhlasan kerajaan yang mentadbir Sarawak,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan