KUALA LUMPUR, 11 Nov (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan dengan Putera Mahkota Kuwait Sheikh Sabah Al-Khaled Al-Hamad Al-Mubarak Al-Sabah di Riyadh, Arab Saudi, petang tadi.
Dalam pertemuan itu, Anwar turut menzahirkan ucapan tahniah kepada Kuwait yang akan menjadi Pengerusi Majlis Kerjasama Teluk (GCC) bermula Disember ini.
“Saya turut memanjangkan jemputan kepada beliau untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-GCC serta Sidang Kemuncak ASEAN-GCC+China pada Mei 2025 di Kuala Lumpur.
“Malaysia sudah pastinya akan mengemudi ASEAN untuk mengukuhkan kerjasama dengan negara-negara di Timur Tengah,” kata Anwar menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Pertemuan dua pemimpin itu berlangsung sebelum Sidang Kemuncak Luar Biasa Negara Arab-Islam di ibu negara Arab Saudi.
Selain itu, kedua-dua pemimpin itu turut senada dan komited untuk mempertingkatkan lagi hubungan dua hala, terutamanya dalam bidang perdagangan dan pelaburan antara kedua-dua negara.
“Saya percaya hubungan Malaysia dan Kuwait akan terus diperkukuh ke tingkat yang lebih tinggi, insya-Allah,” katanya.
Anwar tiba di Riyadh dari Kaherah, Mesir pagi ini bagi menghadiri Sidang Kemuncak Luar Biasa Negara Arab-Islam.
Beliau dijadual kembali ke Kaherah untuk meneruskan siri libat urus yang telah dirancang terlebih awal dengan delegasi Malaysia dan Mesir.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial